Ahad, 16 Januari 2011

MDT TIDAK ADIL KENAKAN CUKAI PINTU TINGGI?


Oleh: Mail Mathew

KEBIMBANGAN Ketua LDP Tenom Kapitan Ng Tet Hau bahawa suatu hari nanti rakyat akan menghukum kerajaan semasa PRU13 jika masalah rakyat khususnya para pembayar cukai pintu tidak ditangani oleh kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) diTenom dengan sebijak bijaknya dimana kebanyakkan keputusan yang mereka laksanakan tidak konsisten membuatkan rakyat yang berurusan keliru dan menjadi marah.

Apa tidaknya jika pengumuman MDT pada tahun 2009 sekadar pemberitahuan kepada warga pekan yang menduduki kawasan perkadaran mereka berhasrat untuk menaikkan kadar cukai pintu setelah selesai kerja kerja kajian, penyelidikan dan kesesuaian oleh PBT tetapi sebaliknya setelah cadangan PBT itu diluluskan oleh Kementerian mereka melaksanakan kadar baru berkuatkuasa Januari 2009 sedangkan pewartaan arahan hanya berkuatkuasa Januari 2011.

Menurut Kapitan Ng Tet Hau, beliau dan kira kira lebih sepuluh peniaga yang lain sekitar tahun 2009 iaitu sejurus selepas pengumuman itu dibuat PBT disini telah membuat ‘Petisyen’ atau rayuan kepada Pengurusan Majlis Daerah dengan menyertakan bayaran sebanyak RM5.00 setiap seorang namun jawapan hasil rayuan mereka itu sehingga sekarang tidak ada khabar beritanya.

“ Kami terkejut apabila setiap seorang yang menduduki kawasan perkadaran dikehendaki membayar cukai pintu antara RM3 ribu hingga RM7 ribu tidak termasuk tunggakan cukai sejak tahun 2009. Kami kesal dan kecewa kerana rayuan kami itu tidak diberi perhatian serius kerana kami telah pun menyatakan bahawa keadaan ekonomi ketika ini masih belum stabil dan kami bukan menghalang hasrat PBT itu tetapi kami mohon agar ia ditangguhkan untuk sementara waktu,” tegas Kapitan Ng.

Lantaran masalah itu, Kapitan Ng Tet Hau menyatakan hasratnya untuk berjumpa secara bersemuka dengan Menteri kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor dalam masa terdekat ini untuk menyatakan masalah mereka agar arahan tersebut perlu dikaji semula untuk diperbetulkan.

Dalam konteks ini tegas Kapitan Ng, beliau tidak menyalahkan mahupun mengaitkan masalah tersebut kepada Adun Melalap yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Radin Malleh kerana beliau (Datuk Radin) mungkin bersimpati dengan masalah yang dihadapi para pembayar cukai pintu tetapi kesilapan sebegini berada dipihak pelaksana khususnya PBT.

Sementara itu, Kapitan Ng Tet Hau turut mempertikaikan peranan dan tanggung jawab yang ada tersandar dibahu Dewan Perniagaan Cina Tenom (TCC) dibawah kepimpinan Datuk Teo Ming Chung dalam mencari jalan penyelesaian masalah perkadaran cukai pintu yang melibatkan 100 peratus peniaga peniaga Cina.

“ Kenapa Datuk Teo terus senyap dan berdiam diri didalam isu ini? Saya cabar beliau agar letak jawatan jika tidak serius atau berminat menangani masalah yang membantut usahawan masyarakat Cina,” tegas Kapitan Ng dengan nada yang keras.

Dalam pada itu, Ketika Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom (MDT) Wolfred Gentiu dihubungi menjelaskan bahawa pengurusan MDT disini mengamalkan dasar pintu terbuka bagi sebarang rundingan khususnya yang melibatkan bayaran kadar cukai pintu dikawasan perkadaran yang kini hangat diperkatakan oleh mereka yang terlibat mendakwa kononnya mereka terbeban dengan bayaran itu disebabkan pengurusan majlis mengenakan bayaran tinggi mencecah kira kira 70 peratus disifatkan dakwaan itu kurang tepat sepertimana yang dilaporkan baru baru ini.

Tegasnya, mereka yang terlibat dan tidak berpuas hati dengan bayaran itu boleh mengemukakan rayuan kepada pengurusan majlis untuk pertimbangan bagi skim bayaran secara ansuran termasuk tunggakan.

“ Tetapi jika boleh…biarlah bayaran cukai untuk tahun 2011 dijelaskan terlebih dahulu manakala tunggakan bagi tahun 2009 dan 2010 dibayar secara ansuran,” tegas beliau.

Wolfred seterusnya menegaskan bahawa kemungkinan mereka yang terlibat kurang memahami kaedah pengiraan sesuatu kadar yang dilaksanakan majlis dimana setakat ini kenaikan cukai hanya diparas 5 peratus tambahan kepada kadar sebelumnya.

Bagaimanapun tambahnya, mereka harus sedar bahawa disebabkan mereka masing masing mempunyai bayaran tertunggak sejak tahun 2009 sudah pastilah ia seolah olah berlaku kenaikkan secara mendadak sehingga 70 peratus sepertimana yang mereka dakwa sebelum ini.

Ketika ditanya mengapa pelaksanaan kutipan kadar baru hanya dijalankan pada tahun 2011 sedangkan pengumuman kenaikan kadar baru berkuatkuasa pada Januari 1, 2009 Wolfred berkata,

“ Kita pada ketika itu tidak boleh melaksanakan arahan itu sebelum majlis mendapat surat pewartaan arahan itu (Gazette order) daripada Kementerian. (Jadi)…sekarang ini kita sudah memperolehi surat itu maka kita laksanakannya sekarang ini (2011),” jelas beliau sambil menyatakan bahawa sebenarnya kajian untuk kenaikkan kadar baru telah pun bermula sejak tahun 1995 lagi.

APABILA WARTAWAN DITUTUP MULUT?



Mustafa K Anuar | Jan 15, 2011 05:32:31 pm

PRESIDEN Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ), Hata Wahari, dilaporkan hari ini akan digantung dari kerjanya oleh majikannya, Utusan Malaysia, pada 17 Januari - iaitu ketika siasatan dalaman (domestic inquiry) akan dilaksanakan. Ini ekoran dari kritikan yang dilemparkan oleh Hata terhadap akhbar yang kontroversial itu sebaik saja menyandang jawatan pemimpin di NUJ itu.

Jika berita ini menyedihkan bagi rakan sekerja dan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kebebasan bersuara dan media, hal yang mengatakan beliau telah dikenakan perintah "kurung rumah" adalah lebih membimbangkan. Ini kerana tindakan yang diambil oleh majikannya itu mirip perilaku pemerintah yang menghukum seseorang itu - yang mungkin dianggap penjenayah atau yang dicop sebagai ancaman negara - tidak boleh keluar dari persekitaran rumah selama waktu yang ditentukan.

Dengan kata lain, wartawan yang kritis dan berpaut kepada kod etika profesion kewartawanan telah dihukum seolah-olah dia telah melakukan suatu jenayah.

Jika kita mengimbas kembali apa yang Hata telah lakukan, beliau membuat teguran terhadap Utusan Malaysia bahawa akhbar itu telah hilang haluan sebagai sebuah akhbar arus perdana kerana telah bersikap "ekstremis" dari segi pendekatan yang diambil oleh editornya dan pemberitaan yang dilakukan, dan beliau bimbang ini boleh mencetuskan "keluh kesah" dalam kalangan rakyat yang berbilang etnik dan agama. Dan seterusnya beliau khuatir pendekatan ekstremis ini boleh mengakibatkan jualan dan pembacaan akhbar tersebut yang kian meleset.

Sebagai pemimpin sebuah kesatuan wartawan yang inginkan NUJ dan profesion wartawan disegani di Malaysia, Hata berhak untuk menyatakan pendirian beliau seikhlas mungkin walaupun ini boleh "menusuk kalbu" majikannya sendiri. Sudah tentunya ini satu perbuatan yang bukan mudah, tetapi perlu dilakukan demi maruah profesion wartawan dan prinsip kebebasan media dan demokrasi.

Kalau kita perlu peringatan di sini, kerjaya wartawan mempunyai tanggungjawab yang berat bukan sahaja terhadap dirinya sebagai seorang professional tetapi juga terhadap masyarakat umum. Wartawan, sekurang-kurangnya pada prinsipnya, harus komited terhadap kebenaran, keadilan dan kedamaian.

Kewartawanan bukanlah satu kerjaya yang menjanjikan gaji bulanan semata-mata sepertimana yang ada pada kerjaya lain. Ianya memerlukan komitmen mendalam yang kadang-kala mendedahkan diri wartawan berkenaan kepada bahaya (politik, ekonomi dan keganasan fizikal) dan dilema moral.

Dengan kata lain, tindakan yang diambil oleh Hata dan rakan-rakannya di NUJ perlu dihargai oleh warganegara Malaysia pada umumnya kerana ianya bersangkut-paut dengan persoalan etika profesion, keadilan, kebenaran dan hak kebebasan bersuara. Ini lebih-lebih lagi apabila masyarakat masakini menghadapi keadaan di mana kebenaran dan keadilan menjadi "binatang buruan" yang sukar dicari dan dicapai.

Itulah sebabnya, sepertimana yang telah diperhatikan oleh Hata, ramai rakyat di negara ini yang telah "berhijrah" dari media arus perdana ke media alternatif di Internet dalam usaha mereka mendapatkan berita dan maklumat yang kelihatan terdekat dengan kebenaran dan keadilan. Sesungguhnya, citarasa rakyat masakini rata-rata lebih canggih.

Dan perbuatan Hata (dan rakan seperjuangannya) untuk memperjuangkan profesionalisme kerjayanya dan juga kebebasan media menjadi lebih relevan lagi apabila ada usaha yang membayangkan keinginan pihak pemerintah yang cenderung untuk membendung kebebasan yang ditawarkan oleh Internet itu. Khususnya, Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini telah meluahkan "kebimbangan" tentang apa yang dianggap sebagai unsur-unsur tidak sihat dalam Internet yang kononnya boleh membawa rebah lebih-lebih lagi kepada anak-anak muda dalam masyarakat kita.

Sesungguhnya, tindakan Hata (gambar kanan) ini mempunyai signifikannya yang ketara. Dalam keadaan dunia kewartawanan tanah air di mana wujudnya "wartawan wahyu", sikap dan tindakan yang diambil oleh wartawan seperti Hata mudah memisahkan dirinya dari kelompok wartawan ini. Malah, beliau dan rakan seperjuangan mudah dilihat seolah-olah mencapai status "hero" dalam dunia persuratkhabaran di Malaysia.

Sebilangan pemerhati media merasakan kemunculan pemimpin NUJ seperti Hata ini persis udara nyaman bertiup yang enak dihidu di tengah-tengah masyarakat yang dibelenggukan dengan kongkongan media dan wartawan hasil daripada undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Rahsia Rasmi yang mencengkam kebebasan media dan bersuara.

Jika dipandang dari satu sudut, tindakan yang diambil oleh Utusan Malaysia terhadap Hata mempunyai ironinya kerana ini melibatkan sebuah organisasi media yang sepatutnya melindungi dan memperjuangkan kebebasan media dan anak buahnya. Tetapi bila dilihat dari sudut yang lain, tindakan akhbar ini harus dijangkakan kerana akhbar tersebut sudah lama berperanan sebagai sebuah lidah parti politik konservatif yang sudah tentunya mempunyai matlamat yang berlainan daripada akhbar arus perdana yang normal lagi bebas.

Tak kira apa sudut yang diambil, apa yang jelas ialah media dan wartawannya telah "dikurung". Turut merasakan impak "kurungan" ini ialah rakyat jelata yang dahagakan berita dan maklumat yang berguna kepada kehidupan seharian mereka dalam sebuah masyarakat yang dikatakan mengamal sistem demokrasi.

*Mustafa K Anuar adalah pembaca MerdekaReview yang prihatin terhadap persoalan kebebasan media tanah air.