Jumaat, 1 April 2016

DATUK RAMAHJAN SUMBANG RM55,000 UNTUK DANA PIBG DAN PEMBINAAN DEWAN TERBUKA SMK KEMABONG

Oleh: Mail Mathew

KEMABONG: Majlis Anugerah Cemerlang SMK Kemabong yang dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ramahjan Sulaiman Khan telah mendapat perhatian pemimpin itu kerana prestasi kecemerlangan pelajar pelajarnya bagi tahun 2015.

Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita Umno Tenom dan Ahli Jawatankuasa Sekretariat Kelab Umno Luar negara dengan murah hati telah menyumbang sebanyak RM15,000 untuk tambahan dana PIBG manakala sumbangan sebanyak RM40,000 untuk membina sebuah dewan terbuka untuk pelajar pelajar sekolah tersebut.

“ Sumbangan ini adalah ikhlas dan ianya tidak bermakna untuk tujuan meraieh sokongan politik...sebaliknya kita berbuat demikian semata mata ingin membantu meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar pelajar khususnya dikawasan luar bandar,” katanya.

 Beliau berkata demikian dihadapan kira kira 1,000 orang pelajar dan ibubapa semasa merasmikan majlis Anugerah Cemerlang SMK Kemabong yang diadakan di Dewan Datuk Tingkalor Lampag, dekat sini pada Khamis.

Turut hadir dimajlis itu, Pengetua SMK Kemabong Lian Fee Choo, Pengerusi PIBG Ampalang Payu, Naib Ketua Bahagian Umno Duli Malek Hussin, para ibubapa, guru guru dan pemimpin pemimpin masyarakat setempat.

Selain itu, Ramahjan turut memberi pujian khusus kepada Pengetua, guru-guru, pihak pengurusan sekolah, dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), atas dayausaha dan inisiatif, mengadakan program itu, seterusnya mengangkat mutu pendidikan di kawasan pedalaman.

 “ Seperti nama majlis ini, iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar, maka pada hari ini kita menyaksikan penghargaan dan pengiktirafan diberikan kepada para pelajar iaitu anak-anak kita, yang telah mencapai kecemerlangan mereka dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

“ Sempena majlis yang penuh makna ini, saya secara peribadi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Pengetua SMK Kemabong, kerana atas semangat dedikasi yang tinggi, serta keprihatinannya mentadbir sekolah, telah membawa kejayaan amat membanggakan bagi SMK Kemabong, apabila sekolah ini menjadi salah satu daripada sekolah yang mencatatkan kelulusan 100 peratus di peringkat SPM/STPM pada tahun 2015,” tegasnya.

 Sesungguhnya, kejayaan ini merupakan pencapaian terindah dan manis, yang pasti terukir dalam sejarah SMK Kemabong di bawah teraju pimpinan Pengetuanya, dengan didokong oleh guru-guru serta para ibu bapa sekalian, tambahnya.

Ramahjan seterusnya mengajak warga pendidik dan para ibubapa agar terus meningkatkan kerjasama kearah kecemerlangan yang lebih terbilang dimasa hadapan, sambil mengharapkan  ianya tidak berakhir di sini sahaja, sebaliknya diteruskan sampai ke peringkat lebih tinggi, hingga ke menara gading.

Dalam Bajet 2016 misalnya, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM41.3 bilion kepada Kementerian Pendidikan, bagi memperkasa pembangunan pendidikan seluruh negara. Penyediaan peruntukan yang besar itu adalah bukti keprihatinan tinggi kerajaan kepada sektor pendidikan di negara ini, walaupun dalam keadaan ekonomi  global yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, katanya.

Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mendokong aspirasi rakyat, kerana kita memahami peri-pentingnya kesejahteraan rakyat di peringkat akar-umbi, termasuklah di kampung-kampung pedalaman terpencil di negeri kita ini, tegasnya. Ends///...(Mail Mathew)

Caption:- 1.Gambar SMK KEMABONG 1- Kelihatan Ramahjan meng-klikkan tetikus komputer sebagai simbolik perasmian majlis tersebut.