Selasa, 23 Ogos 2011

DAP MUNGKIN BERMIMPI TAWAN KEMABONG!

Oleh: MEDIA SAPP TENOM

KEMABONG,Ogos 23: Ketua Peti Undi SAPP Mukim Rundum Palipus Ampasu 50, menafikan dengan sekeras kerasnya penglibatan beliau terhadap aktiviti DAP dikawasan disini dan menyifatkannya sebagai satu spekulasi semata mata yang bertujuan untuk melemahkan keyakinan parti terhadap beliau dan seterusnya memecahbelahkan para penyokong SAPP Kemabong.


Tegasnya, beliau percaya taktik kotor itu sengaja dirancangkan oleh kumpulan yang tidak bertanggung jawab dengan niat tertentu lebih lebih lagi pilihanraya umum kali ke-13 semakin menghampiri tarikh pembubarannya yang akan dilakukan pada bila bila masa dari sekarang.

“ Saya dan ahli ahli SAPP disini tetap tidak berganjak kerana SAPP merupakan sebuah parti tempatan yang perlu disokong untuk mencapai matlamatnya membentuk kerajaan baru selepas PRU13,” kata beliau ketika dihubungi untuk mendapatkan pengesahan spekulasi itu pada Selasa.

Palipus berkata demikian ketika mengulas desas desus yang tersebar luas sejak akhir akhir ini bahawa beliau kononnya berkemungkinan akan berpindah ke parti DAP bersama seorang lagi pemimpin muka baru berkelahiran didaerah disini dimana mereka dijangka akan menemui pemimpin veteran DAP Kebangsaan Lim Kit Siang semasa pemimpin veteran itu berkunjung ke Kuala Tomani pada September 3, 2011.

Bagaimana pun, Palipus menolak dakwaan itu secara total kerana perjuangannya tetap tidak berubah selagi konsep perjuangan SAPP yang sudah sebati dalam sanubarinya begitu yakin dan tegas akan memperjuangkan hak hak rakyat Sabah sepertimana yang termaktub dalam dokumen 20 Perkara berteraskan “Sabah for Sabahan”.

“ Bagaimana rakyat Kemabong yang 90 peratus majoritinya penduduk suku Murut boleh menerima DAP sebuah parti luar Sabah yang berkonsepkan perjuangan untuk membela nasib kebajikan masyarakat Cina? “ tanya beliau.

“Jikalau dikawasan bandar bandar ada rasionalnya…tetapi disni kawasan luar bandar? Mungkin juga DAP sedang dilamun mimpi indah kerana terlalu berangan angan…sedangkan cawangan dan pejabat pun tiada. (jadi)…apa asas dan buktinya DAP boleh letak calon disini,” tambah Palipus lagi.

Palipus seterusnya berkata, rakyat disini memang terkenal dengan gaya kemesraan dan sopan santunnya dimana sesiapa sahaja yang datang melawat rakyat disekitarnya akan melayani mereka namun kesempatan itu (kemesraan) janganlah pula ianya dianggap rakyat sudah bersetuju menyertai DAP.

“ Kita ibaratkan kalau mahu meminang seseorang gadis, takkan lah kita terus jatuh cinta jikalau tak kenal…inikan pula ahli DAP pun belum, cawangan pun tiada, macam mana boleh katakan kita sudah masuk DAP…nanti orang label kita ‘gila politik’ pula,” tambahnya lagi.