Rabu, 25 Julai 2012

PASTIKAN UMCO BUKAN DIPERALATKAN PIHAK TERTENTU?

Oleh: Ambrose M Matthew

TENOM: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Murut Sabah (PMS) Jimmy Jawatah (gambar), menegaskan bahawa kemunculan Pertubuhan Masyarakat Murut Bersatu (Umco) sebuah lagi persatuan yang baru diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftaran Pertubuhan (RoS) khusus untuk masyarakat Murut dinegeri ini agar mencapai objektif penubuhannya bagi memperjuangkan hal ehwal kebajikan masyarakat Murut itu sendiri.

JIMMY JAWATAH...jangan jadi alat pecahbelahkan Murut!
Beliau berkata, adalah diharapkan ianya bukan dijadikan sebagai 'batu loncatan' demi kepentingan peribadi mahupun diperalatkan oleh pihak tertentu dalam usaha untuk memecahbelahkan ikatan Murut yang sedia wujud, demi kepentingan politik sesuatu kaum tertentu.

“ Masyarakat kita sebenarnya sudah ada dua persatuan telah diwujudkan sebelum ini iaitu PMS dan Persatuan Murut Borneo dengan matlamat yang sama, namun dengan kehadiran Umco mungkinkah kebajikan sosial kira kira lebih 100,000 masyarakat Murut diSabah akan menikmati hasil perjuangan ketiga tiga persatuan itu dengan memuaskan atau sebaliknya,” kata beliau dalam satu kenyataan disini pada Rabu.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, kecenderungan pemimpin masyarakat sesuatu etnik terutamanya dalam kelompok KDM khususnya suku Murut menubuhkan persatuan sejak akhir akhir ini yang dilihat sebagai cendawan tumbuh selepas hujan namun kesannya perlu dinilai dari segi positifnya terutama kebaikannya, sekiranya ia disatukan dalam satu entiti perjuangan.

Jimmy menambah, sungguh pun demikian, jikalau keputusan untuk menubuhkan seberapa banyak persatuan pun, ianya bukan sesuatu yang salah dari aspek perundangan selagi negara ditadbir berkonsepkan sistem demokrasi tetapi apa yang lebih penting matlamat dan objektif yang diperjuang kan haruslah membuahkan hasil yang baik.

Jimmy berkata demikian ketika diminta mengulas kemunculan Umco dimana teras perjuangannya adalah untuk membela hak asasi suku Murut khususnya tanah adat (NCR), selain memulihara adat istiadat kesukuan itu termasuk ekonomi dan pendidikan yang didakwa Presidennya AliZulfakar Salamat atau nama lainnya Alexius Mangka 53, kononnya tidak dimajukan secara serius.

Sementara itu, Presiden Umco AliZulfakar Salam ketika dihubungi mengesahkan bahawa Umco akan menjemput Presiden Parti Kebenaran Benson Alamit untuk merasmikan upacara angkat sumpah jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umco diNabawan dalam masa terdekat.

Menurut AliZulfakar, setakat ini Umco telah menerima keahlian seramai 5,000 orang dimana borang borang mereka kini sedang diproses untuk disiapkan dalam beberapa hari.

Urusetia Umco kini berpusat di Keningau dan dijangka akan membuka beberapa lagi pejabat perhubungan antaranya di Tenom, Kemabong, Pagalungan, Nabawan, Tawau, Sandakan dan Pantai Barat untuk mensasarkan keahlian kira kira 300,000 orang. Ends///..