Sabtu, 18 Februari 2012

Pembangkang pertikai daftar pemilih tambahan

Malaysiakini: Kuek Ser Kuang Keng 11:57AM Feb 17, 2012

Parti pembangkang mempertikai daftar pemilih tambahan untuk suku keempat 2011 yang dikesan tidak menyertakan senarai pemilih yang telah meninggal dunia dan juga nama yang telah dikeluarkan dari daftar pemilih induk.


Ketua biro pilihan raya pemuda PAS Johor, Mohd Faizul Mohd Salleh berkata, kesemua daftar pemilih tambahan untuk sesuatu penggal tertentu sebelum ini biasanya menyenaraikan nama pemilih yang telah meninggal dunia.

Selain itu, daftar pemilih tambahan itu juga biasanya menyenaraikan pengundi yang baru didaftarkan, pengundi yang bertukar alamat dan juga pengundi yang dilucut taraf kerakyatan.

Mohd Faizul berkata, daftar pemilih tambahan itu kali ini agak ganjil kerana tidak disertakan dengan senari pemilih yang telah berubah status seperti itu.

Amalan itu juga tidak selari dengan prinsip ketelusan yang ingin ditonjolkan SPR, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau telah menyemak dengan biro pilihan raya pemuda PAS di negeri lain yang turut mengadu mengenai perkara sama, katanya lagi ketika dihubungi.

Semakan dengan biro pilihan raya PKR Perak dan juga DAP Pulau Pinang juga menunjukkan perkara sama berlaku.

Suruhanjaya Pilihan Raya mempamerkan daftar pemilih tambahan untuk suku tahun terakhir 2011 itu untuk pemeriksaan orang ramai bermula 8 Februari hingga 14 Februari lalu.

[Baca berita penuh]

NAJIB PULANG DARI SABAH TANPA RCI BAGI PROJEK IC

Malaysiakini; 11:19AM Feb 18, 2012

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pulang dari Sabah selepas melakukan lawatan dua hari ke negeri itu semalam - tetapi tanpa sebarang pengumuman mengenai penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi Projek IC seperti yang diuar-uarkan sebelum itu.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili sebelum ini berkata mesyuarat Kabinet minggu lalu telah membincangkan mengenai RCI yang dicadangkan untuk menyiasat dakwaan pendatang tanpa izin diberi kerakyatan dan hak untuk mengundi, yang dikenali sebagai Projek IC.

NONEMaximus, yang juga timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan pengerusi jawatankuasa terpilih parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya, berkata suruhanjaya diraja itu akan menyiasat kontroversi itu secara terperinci.

"Kenapa ini berlaku, siapa yang melakukannya dan apa yang patut dilakukan kepada orang yang melakukannya?" katanya.

Seorang lagi menteri dari Sabah, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, yang mengambil kredit bagi cadangan penubuhan RCI itu, berkata ia perlu dilakukan sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Jika tidak, rakyat mungkin berfikir kita melakukannya hanya untuk pilihan raya."

Menurutnya, kabinet telah memberi mandat kepada Najib untuk mengumumkan keputusan tersebut.