Selasa, 29 Mac 2011
SEGERAKAN PEMBAIKAN JALANRAYA KG MANSASOH
Oleh: MAIL MATHEW Penduduk Kg Mansasoh dalam daerah Kemabong menggesa kerajaan agar menyegerakan kerja-kerja membaikpulih jalanraya sejauh kira-kira 4 km dari simpang besar menuju ke pusat perkampungan kerana jalanraya tersebut tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan; terutama membawa keluar hasil tanaman mereka untuk dipasarkan.
Malahan masalah kerosakan tersebut yang telah berlaku lebih dua tahun lalu dan telah pun disuarakan kepada pihak tertentu menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Kg Mansasoh, namun sehingga sekarang tiada tanda- tanda tindakan telah diambil.
Jurucakap penduduk, Rasat bin Risut, 45, berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net pagi tadi bahawa beliau terpaksa meluahkan kekesalan menerusi media sebagai jalan terakhir untuk mendapatkan perhatian pihak berkenaan.
“Kita kesal dengan kelembapan pihak tertentu menangani masalah kami di sini sedangkan masalah itu berulangkali sudah dikemukakan kepada Pejabat Daerah Tenom, tetapi kami tidak faham mengapa ia seolah-olah tidak dipedulikan,” tegas Rasat sambil mengharapkan agar pihak atasan akan termaklum rungutan mereka itu.
“Kami juga ada projek tanaman pertanian jenis papaya di bawah kelolaan Jabatan Pertanian tetapi kelancaran pelaksanaannya terbantut disebabkan masalah jalanraya yang tidak baik,” tambah Rasat.
Rasat menegaskan bahawa beliau kesal hasrat kerajaan untuk mendahulukan rakyat dalam mengatasi serba serbi masalah yang dihadapinya sepertimana yang sering diungkapkan pemimpinnya; namun aspirasi itu tidak akan kesampaian matlamatnya selagi pihak pelaksana gagal memenuhi kehendak pemimpin berkenaan.
Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Kg Mansasoh, Zakaria @ Miong b. Laminit, 50, ketika dihubungi menjelaskan bahawa masalah tersebut telah pun dikemukakan kepada Pejabat Daerah (Pegawai Daerah) sejak tahun lepas untuk tindakan namun sehingga sekarang belum ada apa apa tindakbalasnya.
“Kita juga sudah berulangkali membuat ‘folow up’ segala permohonan kami tetapi kita tidak faham kenapa ia terus menyepi begitu sahaja,” tegas Zakaria.
Menurut Zakaria lagi, jalanraya tersebut telah pun dinaiktaraf dan diaspal kira-kira lebih 10 tahun yang lalu tetapi disebabkan terlalu banyak kenderaan berat yang berlalu lalang di situ, menyebabkan jalanraya itu mengalami kerosakan teruk sejak lebih dua tahun lalu.
MANA JANJI SELENGGARA JAMBATAN TENOM LAMA?
Oleh: MAIL MATHEW
PENGERUSI Tenom Chinese Chamber of Commerce (TCCC), Datuk Teo Ming Chung kini mengulangi gesaannya yang pernah dilakukannya sekitar Julai, 2010 berhubung keuzuran Jambatan Tenom Lama atau lebih dikenali Jambatan Tun Mustapha kepada Jabatan Kerjaraya Sabah; namun sehingga kini tidak ada tanda-tanda jambatan tersebut diselenggarakan.
Katanya, beliau kesal kerana janji Pengarah JKR akan mengusahakan peruntukan berjuta ringgit untuk menyelenggarakan jambatan tersebut, malangnya janji itu tidak tepat kerana sehingga sekarang nampaknya terus senyap sahaja.
“Pengarah JKR datang ke sini memeriksa keadaan jambatan tersebut dan dia memberitahu saya yang JKR akan berusaha dapatkan peruntukan untuk menyelenggara jambatan itu. Tetapi sampai sekarang tiada apa-apa mereka lakukan,” kata beliau sebagai mengulas kenyataan pegawai itu pada 23 Julai 2010 yang memberi jaminan bahawa pihak JKR Sabah akan mengambil tindakan serius selepas kenyataan Teo terpampang di dalam media yang melaporkan bahawa jambatan tersebut mengalami keuzuran serius dan perlu diperiksa seterusnya diselenggarakan.
Bagaimana pun Datuk Teo yang telah mengintai janji tersebut hampir setahun lamanya merasa kecewa dan tidak berpuas hati terhadap sikap yang ditunjukkan oleh JKR Sabah kerana tidak ada satu pun tindakannya dibuat selepas itu yang disifatkannya seolah-olah sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.
BERAT….Jambatan usang ini turut dilalui lebih 100 lori balak sehari sedangkan tiang jambatan telah mengalami runtuhan tebing sehingga dinaiki air Sungai Padas.
Dalam pada itu, Teo menegaskan bahawa, ramai rakyat di kawasan Kemabong dan Melalap bimbang akan keselamatan mereka ketika melalui jambatan tersebut yang dibina lebih 30 tahun lalau (dibina ketika era kerajaan USNO), namun sepanjang usia itu ia tidak pernah diselenggarakan.
Tambahnya lagi, sedangkan kenderaan yang menggunakan jambatan tersebut bukan sahaja tertumpu kepada kenderaan kecil daripada Sipitang, Sarawak dan Brunei malah ia turut dilalui kenderaan besar bermuatan tinggi seperti lori pengangkut balak.
“Ini soal keselamatan rakyat. Kita pernah dikejutkan satu trajedi mengerikan pernah berlaku suatu ketika dahulu di jambatan Mandahan yang turut mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa apabila jambatan roboh ketika kenderaan melintas (jadi), kita harus sedar semua itu sebelum terkena,” tambah Teo dengan wajah serius.
Jambatan Tenom Lama yang dibina ketika era kerajaan USNO sekitar tahun 1970-an sering menjadi tohmahan rakyat di kawasan Kemabong dan Tenom kerana sejak ia dibina, ketahanan fizikal jambatan itu tidak pernah diuji mahupun diselenggara.
UMNO JANGAN CAMPURI RUSAN LDP
Oleh: MAIL MATHEW AHLI Majlis Tertinggi Liberal Democratic Party (LDP) Tenom, Kapitan Ng Tet Hau meminta Ketua UMNO Penampang, Datuk John Ambrose agar menjauhkan diri daripada mencampuri urusan politik LDP, kerana LDP lebih tahu apa perlu dilakukannya malah telah sedar ke mana halatuju parti itu. Tegasnya, buruk dan baiknya tindakan LDP itu adalah tertanggung kepada kewibawaan kepimpinan parti itu untuk menanggungnya sendiri tanpa mengharap bantuan daripada pakar-pakar penasihat politik dari luar.
Kapitan Ng yang juga Ketua Bahagian LDP Tenom seterusnya berkata, kepimpinan Presiden LDP Datuk V.K Liew tidak pernah disesali atau diragui oleh ahli-ahli parti itu di peringkat akar umbi sebelum ini berhubung kewibawaannya memimpin parti malah setiap tindakan Liew pasti mendapat sokongan kukuh dari akar umbi.
Beliau menambah, begitu juga setiap janji dan keputusan yang pernah dizahirkan LDP kepada gagasan Barisan Nasional (BN) sebelum itu untuk mengukuhkan konsep perkongsian kuasa bagi menjamin penerusan kuasa di Sabah tidak pernah luntur.
“Malangnya, kesetiaan LDP dipandang serong oleh pihak tertentu namun sanggup menghalalkan perkara yang bertentangan dengan prinsip perkongsian kuasa dalam BN,” tegas Kapitan Ng sebagai mengulas kenyataan Datuk Ambrose berhubung kesetiaan LDP dalam BN sambil menggesanya memberhentikan tuntutannya.
Tegasnya lagi, bahawa ketika BN Sabah ditubuhkan selepas tahun 1990-an iaitu ketika UMNO dikembangkan sayapnya ke Sabah, kepimpinan BN pusat berkehendakkan tiga parti tempatan perlu dimantapkan selain USNO yang diambil alih UMNO mewakili Bumiputera Islam.
Malahan kewujudan LDP untuk masyarakat Cina selain MCA dan Parti Akar mewakili masyarakat KDM pimpinan mendiang Datuk Mark Koding, merupakan sebahagian daripada strategi BN Sabah untuk menawan tampuk kerajaan di Sabah.
“Kita tidak mahu berselindung dengan prinsip perjuangan kita bahawa LDP ditugaskan memperjuangkan masyarakat Cina tempatan, UMNO untuk Bumiputra Islam dan Parti Akar untuk KDM malangnya Ambrose berada dalam UMNO persoalannya kenapa tidak dalam Akar atau UPKO,” tegas Ng.
“Apa rasionalnya Datuk Ambrose berada dalam UMNO sedangkan beliau seorang pemimpin KDM yang sepatutnya memilih antara UPKO, PBS atau PBRS mungkin juga Ambrose juga sudah sesat jalan dalam BN?,” tambah Kapitan Ng.
Langgan:
Catatan (Atom)