Khamis, 22 September 2011

UMNO GUNA TAKTIK 'DIVIDE AND RULE' PERINTAH MALAYSIA?

Oleh: Ambrose M. Matthew

TENOM, Sept 22: Naib Presiden SAPP Jimmy Jawatah menegaskan bahawa rakyat jelata dinegeri ini mempunyai tugas getir yang amat penting menjelang PRU13 untuk mempastikan kerajaan BN yang ditunjangi UMNO tumbang pada pilihanraya umum kali ke-13, dimana selepas itu negeri ini dapat diurus tadbir dengan adil dan saksama mengikut lunas lunas demokrasi berasaskan kehendak Perlembagaan Negara.


Katanya, dengan syarat bahawa pembangkang khususnya SAPP perlu mendapat sokongan padu daripada rakyat bagi merealisasikan misi dan visi tersebut dimana tanpa sokongan mereka pastilah BN akan terus berkuasa manakala rakyat akan menderita dengan masa depan yang gelap untuk selama lamanya.

“ Kita mahu semua lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit dan keturunan sama ada golongan tua atau muda perlu bangkit menggarap tugas penting ini demi menyelamatkan maruah bangsa dan hak asasi kita yang semakin terhakis ini,” kata beliau pada Sabtu lepas sambil mendapat sorakan hadirin kira kira lebih seratus orang bertempat dirumah Maturin Mohammad diKg Sawang Melalap.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC Melalap berkata, terdapat beberapa tanggapan rakyat yang mendakwa kononnya SAPP berkonsepkan perjuangan untuk membela masyarakat Cina adalah tidak benar dimana status perlembagaan parti itu berkonsepkan perjuangan berbilang bangsa (multy racial).

“ Sesungguhnya Presiden SAPP diterajui oleh pemimpin Cina tetapi barisan saf kepimpinan SAPP adalah berbilang bangsa seperti pemimpin KDM, Melayu, Cina yang melambangkan penyertaan semua kaum yang ada diSabah. Tidak seperti UMNO yang berjuang berkonsepkan satu kaum sahaja iaitu kaum Melayu,” tegasnya.

“ Modus operandi kepimpinan BN adalah mirip kepada sistem “divide and rule” dimana Umno mewakili suku Melayu, manakala Parti Gerakan, MCA mewakili Cina, MIC dan PPP mewakili kaum India…selain itu parti parti lain dalam kelompok komponen BN diSabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada usaha mengecilkan suara mereka dengan mengkelompokkan kaum kaum lain supaya ianya bersais kecil yang mudah bagi Umno menguasainya kerana Umno kelompok yang bersais besar,” tambah beliau lagi.

Jelas Jimmy lagi, strategi itulah yang digunakan Umno dalam mengekalkan kuasanya di Negara ini dimana Umno melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggalakkan semua kaum yang bukan Melayu mempunyai parti masing masing sepertimana yang terbukti sekarang ini dimana berlaku lambakan parti parti politik yang ramai bilangannya.

Adalah kerana tegasnya lagi, ianya dilakukan sebegitu rupa merupakan sebahagian daripada strateginya untuk meminimakan suara majoriti kaum lain dalam konteks dasar digunapakai untuk merealisasikan “divide and rule” terus berperanan dengan berkesan bagi mencapai matlamat dan cita cita Umno yang mahu membolot kuasa mutlak di Negara ini untuk selama lamanya.

“ Kita selama ini telah didungukan oleh kepintaran Umno menggerakan strategi secara senyap divide and rule yang diwarisinya daripada penjajah British yang berjaya menundukkan pejuang Melayu dizaman sebelum Malaya Merdeka pada tahun 1957,” jelas immy lag.

“ Inilah perkara yang kita perlu sedar dan kita hendaklah berusaha melepaskan diri kita daripada cengkaman taktik Umno itu dan seterusnya kita berazam untuk mengubah sistem yang ada sekarang kepada suatu sistem yang lebih baik dan mesra rakyat,” tambahnya.

“ Kita juga mengharapkan supaya hasrat SAPP tidak disalah tafsirkan kepada suatu pengertian yang negatif tetapi niat kita sekadar ingin membetulkan kepincangan pentadbiran kerajaan BN termasuklah dokumen 20 Perkara perlu dikaji kepincangannya dan seterusnya dilaksanakan supaya tidak timbul kesangsian rakyat berhubung perkara tersebut yang kini banyak dipersoalkan rakyat,” kata Jimmy.

Diakhir majlis, Jimmy turut menerima borang keahlian SAPP yang diwakili Latujin untuk menyertai perjuangan SAPP.
Ends///..