Sabtu, 18 Jun 2011

GERAN KOMUNAL, NCR MENJAJAH DIALOG SUHAKAM

Oleh: Mail Mathew

TENOM: Panel Inkuiri Nasional hak tanah orang asal/asli kendalian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memulakan pendengarannya hari ini (Sabtu) dimana isu tanah adat (NCR), isu geran komunal dan kawasan hutan simpan menjadi topik hangat menjajah sesi berdialog dengan para peserta diDewan Seri Antanom yang dihadiri kira kira lebih 200 orang peserta.


Para peserta dibenarkan bercakap dalam sesi dialog itu dengan masa yang terhad dihadapan panel Inkuiri Suhakam terdiri daripada, Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Azam, Pesuruhjaya Mohammad Sha’ani, Pesuruhjaya Suhakam Sabah Jannie Lasimbang dan mantan Naib Pengerusi Suhakam Nasional Tan Sri Simon Sipaun.

Sebelum itu, para peserta telah diberitahu Pesuruhjaya Suhakam Sabah Jannie Lasimbang bahawa pihak mereka menjalankan dua peringkat dimana diperingkat awal dan pertama para peserta akan melalui sesi konsultansi sepertimana yang berlaku sekarang.

Tambahnya, menyusul seterusnya ialah sesi pendengaran awam (Public hearing) dan yang ketiga dan terakhir dimana kesemua laporan selepas dirumus oleh para panel Inkuiri akan diserahkan kepada Dewan Rakyat Parlimen Malaysia untuk tindakan seterusnya.

Lasimbang seterusnya berkata, sesungguhnya peranan Suhakam tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan mengikut undang undang namun ianya berfungsi sebagai mengesyorkan kepada kerajaan merumuskan perundangan dan arahan serta tatacara pentadbiran selain menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi anusia.

Peserta daripada Kg Ulau Sipitang Yakub Burung 70, tidak melepaskan peluang untuk mempertikaikan tindakan Jabatan Perhutanan yang memberi mereka notis untuk mengosongkan kawasan itu yang berada dalam Hutan Simpan.

Tegasnya lagi, sedangkan kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Sri Musa Aman baru baru ini yang memberi jaminan bahawa penduduk yang mendiami kawasan Hutan Simpan tidak akan diganggu lagi oleh pihak berkuasa kerana mereka akan diberi peluang menduduki kawasan tersebut.

“ Jadi…kami mahu tanya mana satu yang betul, sama ada kenyataan Ketua Menteri atau Jabatan Perhutanan? Kami sudah hantar surat bantahan ini kepada Ketua Menteri Sabah berhubung perkara tersebut…tetapi belum ada jawapan. Kami berhak menuntut kawasan itu sebagai tanah waris kami turun temurun,” jelas Yakub.

Seorang lagi penduduk yang mendakwa mewakili Kg Imahit Musah Balu 56, bertegas bahawa mereka tidak akan menerima geran komunal sepertimana yang ditawarkan oleh kerajaan selepas tanah NCR dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan.

Beliau juga mempertikaikan tindakan kerajaan melarang mereka mengusahakan tanaman padi huma (padi bukit) dikawasan tersebut kononnya tindakan mereka berladang disitu akan merosakkan eko sistem flora dan fauna seterusnya melakukan pencemaran kepada sungai Tolokoson yang berhampiran disitu.

“ Kenapa pula tindakan kami yang sekadar berladang dilabelkan sebagai perosak kepada eko sistem dan melakukan pencemaran sungai….sedangkan kegiatan membalak dikawasa SFI yang telah merosakkan tanah bukit dengan serius tidak dilarang malah tidak pula dilabel sebagai perosak eko sistem,” tegasnya.

Manakala Sabini Ansumor Ketua Bahagian PBS Kemabong yang kurang pasti tujuan dan matlamat geran komunal sepertimana yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Beliau menegaskan bahawa sepatutnya penerangan secara menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu konsep dan tujuan geran komunal kepada rakyat khususnya para penduduk yang terlibat supaya mereka yang terlibat memahami tujuan itu seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan cadangan balas kepada kerajaan.

“ Apa yang kita tahu, hanya segelintir pengerusi JKKK sahaja yang diberi taklimat tetapi tidak dilakukan secara menyeluruh. Tanah pusaka hak milik seseorang individu untuk kehidupan sebaliknya bukan untuk keuntungan,” tegas Sabini.
Ends///..

Caption:-

1. Gambar PENDAFTARAN SUHAKAM - Para peserta mendaftar sebelum memasuki dewan.
2. Gambar JANNIE LASIMBANG – Jannie ketika memberi ingatan kepada para peserta sebelum dialog bermula.
3. Gambar YAKUB BURUNG SIPITANG – Keliru dengan arahan kerajaan.
4. Gambar MUSAH BALIU TOMANI – Mewakili penduduk Imahit tidak akan menerima geran komunal.
5. Gambar SABINI ANSUMOR – Gesa kerajaan adakan sesi penerangan konsep dan matlamat geran komunal sebelum dilaksanakan supaya rakyat tidak keliru.