Sabtu, 26 November 2016

PAKAT LEGA BILA KM SABAH TEGAKKAN PENDIRIAN JANJI BERI NCR

Oleh: Mail Mathew 

RAINUS
KEMABONG: Pengerusi Perkampongan Pangulobon, Abingkoi, Kolorok dan Ahuron (PAKAT) Rainus Sagulau (gambar), menyambut baik pendirian kerajaan sebelum ini untuk memberikan tanah kepada penduduk yang tidak memiliki tanah untuk meningkatkan sosio ekonomi masing masing.

 Pendirian tersebut dinyatakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman ketika persidangan Dewan Undang Negeri Sabah baru baru ini, dimana pendirian itu satu usaha mendekatkan masyarakat orang asal ke lembah perubahan sepertimana digariskan dalam TN2050.

“ Kami bersyukur dan berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana masih terus berpegang teguh kepada janji janjinya sebelum ini....manakala penduduk kampong tetap sabar menanti janji itu menjadi kenyataan.

“ Walaupun kami menerima cacian malah ada yang melabelkan kami sekadar mengambil kesempatan namun kesabaran dan percaya kepada kejujuran menyebabkan kami tetap sabar dan setia menunggu,” katanya ketika memberitahu pemberita pada Sabtu.

Walau bagaimana pun, Rainus turut terkilan dakwaan Ketua Menteri Sabah kononnya ada sesetengah daripada pemohon tanah bukan niat jujur dan ikhlas, sebaliknya kumpulan ini sekadar orang tengah yang diperalatkan pihak ketiga, adalah kurang tepat.

 Tambahnya, adalah kerana semasa proses permohonan dilakukan hanya pemohon tulen akan diterima selepas menyemak data data peribadi pemohon termasuk pengesahan daripada Ketua Kampong bahawa pemohon berkenaan merupakan anak jati dikawasan terbabit, katanya.

“ Sekarang ini sistem pemberian geran komunal untuk pemilik pemilik tanah...tidak mungkin ada kesempatan bagi mereka yang tidak jujur menyelinap masuk ambil kesempatan untuk mengambil alih pengurusan tanah seseorang itu dan menjualnya kepada orang lain,” jelas Rainus.

Menurut Rainus, penduduk dalam kawasan perkampongan keluarga PAKAT telah mengemukakan permohonan sejak tahun 2008 untuk mendapatkan hak tanah adat NCR dikawasan itu seluas 7,300 hektar untuk tujuan tanaman pertanian dan perkampongan.

Tambahnya, mereka perlu melihat jauh kehadapan untuk menentukan masa depan generasi mereka yang kini semakin bertambah tetapi tidak mempunyai sebidang tanah untuk diterokai bagi menjana pendapatan mereka.

Beliau bersetuju dengan pandangan Adun Kemabong Datuk Rubin Balang suatu ketika dahulu bahawa tanah merupakan aset/harta yang paling berharga dalam sesebuah keluarga. Malangnya tanah tanah yang baik dan subur yang dianggarkan lebih kurang 11 ribu hektar telah dimiliki GLC manakala hutan hutan kebanyakannya telah diwartakan sebagai tanah Hutan Simpan sejak tahun 1930an.