Selasa, 29 Mac 2011
MANA JANJI SELENGGARA JAMBATAN TENOM LAMA?
Oleh: MAIL MATHEW
PENGERUSI Tenom Chinese Chamber of Commerce (TCCC), Datuk Teo Ming Chung kini mengulangi gesaannya yang pernah dilakukannya sekitar Julai, 2010 berhubung keuzuran Jambatan Tenom Lama atau lebih dikenali Jambatan Tun Mustapha kepada Jabatan Kerjaraya Sabah; namun sehingga kini tidak ada tanda-tanda jambatan tersebut diselenggarakan.
Katanya, beliau kesal kerana janji Pengarah JKR akan mengusahakan peruntukan berjuta ringgit untuk menyelenggarakan jambatan tersebut, malangnya janji itu tidak tepat kerana sehingga sekarang nampaknya terus senyap sahaja.
“Pengarah JKR datang ke sini memeriksa keadaan jambatan tersebut dan dia memberitahu saya yang JKR akan berusaha dapatkan peruntukan untuk menyelenggara jambatan itu. Tetapi sampai sekarang tiada apa-apa mereka lakukan,” kata beliau sebagai mengulas kenyataan pegawai itu pada 23 Julai 2010 yang memberi jaminan bahawa pihak JKR Sabah akan mengambil tindakan serius selepas kenyataan Teo terpampang di dalam media yang melaporkan bahawa jambatan tersebut mengalami keuzuran serius dan perlu diperiksa seterusnya diselenggarakan.
Bagaimana pun Datuk Teo yang telah mengintai janji tersebut hampir setahun lamanya merasa kecewa dan tidak berpuas hati terhadap sikap yang ditunjukkan oleh JKR Sabah kerana tidak ada satu pun tindakannya dibuat selepas itu yang disifatkannya seolah-olah sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.
BERAT….Jambatan usang ini turut dilalui lebih 100 lori balak sehari sedangkan tiang jambatan telah mengalami runtuhan tebing sehingga dinaiki air Sungai Padas.
Dalam pada itu, Teo menegaskan bahawa, ramai rakyat di kawasan Kemabong dan Melalap bimbang akan keselamatan mereka ketika melalui jambatan tersebut yang dibina lebih 30 tahun lalau (dibina ketika era kerajaan USNO), namun sepanjang usia itu ia tidak pernah diselenggarakan.
Tambahnya lagi, sedangkan kenderaan yang menggunakan jambatan tersebut bukan sahaja tertumpu kepada kenderaan kecil daripada Sipitang, Sarawak dan Brunei malah ia turut dilalui kenderaan besar bermuatan tinggi seperti lori pengangkut balak.
“Ini soal keselamatan rakyat. Kita pernah dikejutkan satu trajedi mengerikan pernah berlaku suatu ketika dahulu di jambatan Mandahan yang turut mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa apabila jambatan roboh ketika kenderaan melintas (jadi), kita harus sedar semua itu sebelum terkena,” tambah Teo dengan wajah serius.
Jambatan Tenom Lama yang dibina ketika era kerajaan USNO sekitar tahun 1970-an sering menjadi tohmahan rakyat di kawasan Kemabong dan Tenom kerana sejak ia dibina, ketahanan fizikal jambatan itu tidak pernah diuji mahupun diselenggara.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan