Ahad, 30 Jun 2013

Oleh: Ambrose M Matthew

TENOM: Pemangku Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Sabah Mutang Dawat @ Sylvester menegaskan bahawa parti itu tidak bermasalah untuk memberi kerjasama dalam gagasan pembangkang khususnya Pakatan Rakyat (PR) sekiranya semua parti didalamnya ikhlas menerima terma gagasan itu untuk berdepan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dimasa akan datang.

MUTANG DAWAT @ SYLVESTER
Katanya, keputusan yang diterima pembangkang selepas pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) perlu dijadikan iktibar kepada semua parti parti pembangkang supaya bersatu dan membentuk gagasan pembangkang yang kukuh untuk menghadapi PRU14 yang dijangka pada tahun 2018.

“ Kami dalam Parti KITA walaupun sudah bersedia bekerjasama ketika PRU13 tetapi kami tidak pernah menerima pelawaan itu...(jadi), kali ini kami berharap ia bukan alasan terlepas pandang,” katanya pada Sabtu.

Mutang yang juga salah seorang calon yang bertanding dikawasan Parlimen Tenom atas tiket Parti KITA pada PRU13 tetapi tewas, berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh Theresa Kok dalam satu ceramahnya disini baru baru ini berhubung ketidak sepakatan pembangkang sebagai punca kegagalan pembangkang menumbangkan BN.

Kok yang juga bekas Exco Selangor pada Selasa lalu ketika berceramah di Padas View Chinta Mata dipetik sebagai berkata, bahawa beliau yang memperolehi majoriti besar dikawasan Parlimen Seputeh menyedari bahawa momentum daripada rakyat untuk beralih sokongan kepada PR semakin kuat berdasarkan undi popular yang diperolehi pembangkang iaitu 53 peratus diSemenanjong manakala 50.87 peratus diSabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, dalam satu perkembangan lain, ketika menyentuh isu beberapa MP BN yang mengadakan pakatan dengan Tengku Razaleigh untuk mencabar kepimpinan Umno sekarang, Mutang yakin bahawa corak kepimpinan Umno mungkin berlaku perubahan liberal terutamanya diwilayah Sabah dan Sarawak sekiranya Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh (Ku Li) itu berupaya mencabar kerusi Presiden Umno Dato' Seri Najib Tun Razak dalam pemilihan parti itu tahun ini (2013).

Katanya, Ku Li yang pernah memimpin Parti Semangat 46 yang telah dibatalkan pendaftarannya selepas Ku Li kembali ke pangkuan Umno pernah berkata bahawa sekiranya Semangat 46 yang didokonginya pada ketika itu memenangi pilihanraya umum (Parlimen) 1990an, beliau akan melantik salah seorang pemimpin dari Sabah atau Sarawak sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ketika itu, Parti Semangat 46 pimpinan Ku Li merupakan parti serpihan Umno selepas berlaku krisis dalaman sekitar tahun 1988, antara parti yang menganggotai Angkatan Perpaduan Ummah selain DAP, PAS dan PBS (kemudian keluar bersendirian selepas pilihanraya Parlimen 1990). ends///...