Khamis, 3 Februari 2011

PBS MAMPU MAJUKAN KEMABONG?


Oleh: Mail Mathew

KEMABONG: Penampilan seorang pemimpin muda dan terpelajar dikawasan DUN Kemabong telah menunjukkan kematangan rakyat khususnya ahli ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) memilih pemimpin mereka yang dianggap sebagai berkelas berjiwa rakyat seperti Sabini Ansumor yang tidak gentar mengharungi keadaan perhubungan jalanraya yang masih mundur layak digelar ‘jalanraya untuk binatang buas’ meskipun BN sudah bertapak disitu lebih empat penggal berlalu.

Keadaan keburukan infrastruktur dan lain lain kemudahan disitu bagaimana pun telah terbongkar semasa lawatan turun padang Ketua Bahagian PBS Kemabong Sabini Ansumor pada Januari 31,2011, yang tidak dapat disembunyikan lagi oleh penduduk penduduk Kg Bakuku dalam Mukim Ulu Tomani.

Meskipun keadaan cuaca pada ketika itu tidak mengizinkan beliau bertandang melawat ke situ namun hujan lebat menyambut kedatangan Ketua Bahagian PBS N.36 Kemabong Sabini Ansumor ke Mukim Ulu Tomani sedikitpun tidak mematahkan semanggat beliau sebaliknya beliau berpendapat inilah pengalaman yang seharusnya beliau lalui agar dapat memahami apa sebenarnya permasalahan penghidupan seharian sebagai penduduk kampong yang agak jauh terpencil.

"Nasib baik kenderaan yang saya naiki jenis pacuan empat roda, jika tidak kami tidak akan tiba di kampung Malutut, Kaang dan Alutok ini," kata beliau apabila diminta mengulas keadaan jalanraya dari simpang Kampung Lalang ke Kampung Alutok.

"Banyak bahagian jalan terlalu daif dan sukar dilalui. Ada dua tempat di mana jalan hampir runtuh dan air mengalir melimpah dipermukaan jalanraya dan keadaan ini jika berterusan sudah tentu akan merosakkan jalan,” tegas beliau.

Tambahan pula tegasnya, sistem perparitan yang tidak diselenggarakan memudahkan air cepat melimpah. Dalam keadaan sedemikian beliau turut mencadangkan kepada pihak berkenaan khususnya Jabatan Kerja raya (JKR) agar jalan berkenaan diselenggarakan dalam masa terdekat untuk mengelakkan sesuatu perkara lebih buruk akan berlaku kepada pengguna khususnya penduduk disitu.

“ Jika boleh, saya merayu kepada pihak kerajaan agar jalanraya ini diaspal dalam secepat mungkin,” ujar beliau.

Sebenarnya, kedatangan beliau disitu adalah dalam siri rangka lawatan Program Kaunter Bergerak bertujuan mendaftarkan pemilih baru di bawah kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Melalui kesempatan ini beliau turut beramah mesra dengan para penduduk sambil berusaha mendengar dan memahami kesulitan mereka.

Seramai kira-kira 45 orang telah didaftarkan sebagai pemilih baru di ketiga-tiga kampung berkenaan. Ramai penduduk kampung turut mengambil kesempatan berbual dengan rombongan. Gangguan bekalan elektrik menyaksikan pendaftaran di Kampung Malutut dilakukan di bawah lampu suluh dan di kampung Alutok menggunakan lampu pam.

Suara hati rakyat diluahkan kepada Sabini Ansumor pada ketika itu seperti berikut:

Dalam pada itu, menurut Rauhin Tongon, Ketua Cawangan PBS Kampung Malutut, bekalan eletrik di ketiga-tiga kampung berkenaan tidak berfungsi dengan baik sejak beberapa hari yang lalu. Dimana bekalan elektrik kerap terputus dan memakan jangka masa yang lama untuk dipulihkan dimana keadaan sebegini jika berterusan akan menyusahkan penduduk.

Berhubung masalah jalanraya beliau berkata, "Kami tidak boleh menunggu sehingga kemarau untuk menggunakan jalanraya kerana urusan kami berjalan setiap hari. Kami perlu jalanraya setiap hari walaupun musim hujan. Ketika pilihanraya, walaupun cuaca buruk kami tetap diminta turun mengundi, kini giliran kami meminta jalanraya dibaiki tanpa menunggu cuaca baik. Permintaan ini bukan keterlaluan sebab jalan ini sebagai nadi segala urusan kehidupan kami.”.

Menurutnya lagi, bahan binaan untuk pembinaan bangunan Kraftangan untuk Kaum Ibu telah dibeli di Tenom namun tidak dapat diangkat kerana masalah jalanraya. "Kami dimaklumkan projek pembinaan berkenaan mempunyai masa terhad. Diminta pemimpin segera campur tangan bukan hanya membantu agar bahan berkenaan sampai ke kampung malah menyelesaikan masalah jalanraya berkenaan."

"Ada orang mengatakan bahawa jalan Kampung Lalang ke Kampung Malutut adalah jalan kerbau. Saya tidak setuju jalan ini dianggap jalan kerbau, ini jalan manusia. Kalau ianya jalan kerbau, jalan itu tidak perlu dibaiki. Ini jalan manusia, kita mesti baiki jalan ini sebab ini jalan kita,?" tegas Florentius Alex, Setiausaha Bahagian yang turut mengakui jalan berkenaan tidak sesuai dilalui oleh golongan uzur dan sakit.

Kekuatan PBS Kemabong sejak tahun 1985?

Hakikatnya, kawasan DUN Kemabong merupakan satu satunya kawasan yang terkuat sokongannya kepada PBS sejak tahun 1985 apabila calun PBS yang bertanding disitu Datuk Raymond Laikim mengalahkan penyandangnya dari Parti BERJAYA-BN Datuk Douglas Lind dengan majoriti hampir mencecah seribu undi.

Namun keadaan senario politik yang kurang menentu pada tahun 1994, wakil rakyat pada ketika itu telah melompat ke UMNO-BN bersama beberapa ADUN yang lain menyebabkan kerajaan PBS pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah tumbang dan diambil alih oleh kerajaan BN dimana Ketua Menteri baru yang dilantik pada ketika itu Tun Sakaran Dandai (ketika itu Tan Sri).

Selepas PBS berada didalam arus pembangkang setelah ditumbang pada tahun 1994, walaupun jentera pengurusan parti masih berterusan dibawah pimpinan John Mondolok namun kelibat kepimpinan John kurang menyerlah menyebabkan keadaan PBS diKemabong terus terumbang ambing sehinggalah PBS kembali rujuk kepangkuan BN sekitar tahun 2000.

Mujurlah, selepas beberapa tahun berada dalam BN, kini kepimpinan PBS sudah berwajah baru apabila kemunculan pemimpin muda yang berwibawa Sabini Ansumor mampu memberi suntikan tenaga baru kepada PBS Kemabong yang bukan sahaja itu tetapi beliau diramalkan akan mengambil alih kepimpinan ADUN Kemabong dalam masa terdekat jika BN disitu mempunyai perundingan untuk peralihan kuasa secara aman untuk memenuhi selera pengundi daripada ia menjadi modal politik pembangkang untuk menawan kawasan disitu suatu hari nanti.

Salam hormat dan coretan ini merupakan pandangan penulis semata mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan