Jumaat, 11 November 2016

KERAJAAN DIGESA LULUSKAN TANAH NCR SELUAS 7,300 HEKTAR UNTUK KELUARGA PAKAT

Oleh: Mail Mathew 
 
RAINUS

TENOM: Pengerusi Persatuan Keluarga PAKAT (Pangulobon, Abingkoi, Kolorok, Ahuron dan Tenom) Rainus bin Sagulau (gambar), berkata, hasrat kerajaan untuk mewartakan kira kira 90,000 hektar hutan simpan sebagai kawasan dilindungi sepenuhnya (TPA), cadangan Ketua Konsevator Negeri Datuk Sam Mannan memang baik. 

Bagaimana pun, PAKAT masih mengharapkan agar kawasan tanah adat NCR yang dipohon PAKAT pada sebelum ini seluas 7,300 hektar diambil perhatian seterusnya diluluskan, katanya.

Katanya, tanah NCR seluas 7,300 hektar yang dipohon sejak tahun 2008 oleh 1,520 peserta yang memohonnya, masih terus bergantung harap terhadap jaminan Ketua Menteri Sabah bahawa mana mana tanah adat NCR akan dikeluarkan untuk diagih agihkan kepada penduduk kampong yang tidak mempunyai tanah.

“ Kami penduduk asal dikawasan empat perkampongan seperti Kg Abingkoi, Kg Pangulobon, Kg Kolorok dan Kg Ahuron masih setia menunggu janji yang pernah ditaburkan itu, walaupun ianya sudah berlalu beberapa tahun.

“ Kami yakin dan percaya bahawa janji tersebut pasti akan direalisasikan kerana ia bukan dizahirkannya sekadar sekali dua malah setiap kali ada perayaan Pesta Kaamatan atau Pesta Kalimaran.

“ Kami penduduk kampong amat memerlukan tanah untuk membela masa depan anak cucu cicit kami...kerana tanah merupakan aset yang mampu menjana sosioekonomi kami bagi menyara penghidupan seterusnya,” tegasnya ketika memberitahu pemberita pada Khamis.

Dalam pada itu, Rainus turut menepis berbagai andaian pihak pihak tidak bertanggung jawab yang mendakwa kononnya hasrat perjuangannya untuk mendapatkan tanah itu atas kepentingan dirinya sendiri, adalah tidak benar dan fitnah semata mata.

“ Bagaimana ia boleh dikatakan sebagai kepentingan sendiri sedangkan semua geran tanah yang dikeluarkan kelak akan berbentuk geran komunal....(jadi) adakah masih ada peluang bagi sesiapa pemiliknya untuk mengurusniaga geran tanah komunal ini? ” tanya Rainus. Ends///...(Mail Mathew)

Caption:- 1. RAINUS SAGULAU – Pengerusi PAKAT


Tiada ulasan:

Catat Ulasan