Ahad, 20 Mac 2011

HALALKAH BERI STATUS PR KEPADA PATI?



Written by Admin Sunday, 20 March 2011 12:38 Share

Oleh: MAIL MATHEW


CADANGAN yang tidak berasas perlu digugurkan sebelum ia merebak ke seluruh pelusuk akar umbi terutamanya perkara yang melibatkan pemberian keistimewaan kepada PATI kerana yang terbaru ialah cadangan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memberikan status ‘Penduduk Tetap’ (PR) tetapi tiada hak mengundi kepada PATI apabila PKR menang dan berkuasa di Sabah selepas PRU13 mendapat tentangan hebat rakyat pelbagai kaum di kawasan akar umbi.

Penolong Pegawai Penerangan SAPP kawasan Dun Melalap, Flavius Robert berkata demikian pada sabtu ketika memberitahu wartawan Sabahkini.net yang mengulas cadangan Presiden PKR itu yang terkandung didalam ‘Buku Jingga’ sepertimana yang diumumkannya pada baru-baru ini.

Robert menegaskan, mungkin segelintir pemimpin PKR Sabah sekali pun bersetuju dengan cadangan itu, namun ia perlu mengambilkira pandangan keseluruhannya termasuk rakyat diperingkat akar umbi sebagai asas pertimbangan kepimpinan PKR sebelum pengumuman itu dilakukan.

“Sememangnya kita dalam SAPP khususnya di daerah Tenom dan Kemabong tidak mahu campurtangan cadangan PKR itu kerana buruk dan baik akan ditanggung oleh kepimpinan PKR itu sendiri, malangnya tempias negatif dari cadangan itu turut melibatkan keseluruhan pembangkang khususnya SAPP yang menjadi masalah baru bagi barisan kepimpinan pembangkang, kecuali PKR tidak dilibatkan dalam PRU13 di Sabah,” tegas Flavius.

“Kita mengharapkan agar cadangan PKR itu dapat diperhalusi ke arah suatu cadangan yang boleh diterima rakyat yang selari dengan tindakan parti-parti pembangkang lain di Sabah untuk mengusir balik PATI seramai kira-kira 600,000 orang ke negara asal mereka,” tambah Flavius sambil menggesa Presiden PKR itu menggugurkan hasrat beliau untuk memberi PR kepada PATI.

Dalam perkembangan lain, Flavius turut mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada baru baru ini yang membatalkan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2006 menggugurkan kuasa Gabenor dalam melantik Pesuruhjaya Kehakiman (JC) ke Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Pada amalan sebelumnya mengikut Perlembagaan asal, semua perlantikkan JC ke Mahkamah Tinggi bagi Sabah dan Sarawak dicadang dan disyorkan oleh Hakim Besar Borneo untuk kelulusan dan Perlantikan Gabenor negeri masing-masing. Bagaimana pun selepas pindaan pada tahun 2006, semua perlantikan dilakukan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong atas syor Perdana Menteri Malaysia.

Plaintif mantan Pegawai Polis Robert Linggi yang mencabar Kerajaan Malaysia kerana pindaan itu disifatkannya tidak mengikut Perlembagaan telah mendapat pujian dan jolokan sebagai ‘wira’ pelbagai kaum dan keturunan di kedua-dua buah negeri dalam Wilayah Borneo kerana berjaya menyelamatkan sebahagian daripada penghakisan hak asasi dan kuasa autonomi Sabah dan Sarawak.

Flavius berkata, keadilan dari segi hak asasi rakyat kini sudah mula terserlah kerana ia bermula daripada insiden penangkapan enam orang penduduk Kuala Tomani yang berladang di kawasan NCR tetapi mereka diseret ke Mahkamah kerana dituduh menceroboh hutan simpan Imahit tiga tahun lalu.

Meskipun pun dalam perbicaraan pertama di Mahkamah Majistret Tenom, keenam enam tertuduh telah dijatuhi hukuman denda seribu ringgit seorang namun perbicaraan yang bersambung ke Mahkamah Tinggi akhirnya keenam-enam yang telah disabitkan kesalahan pada sebelumnya itu telah dibebaskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan