Selasa, 6 September 2011

SAPP bukan parti Cina?

Oleh Peter Marajin

Isu No. 3: "KDM (DAN BUMIPUTRA MUSLIM) TIDAK DAPAT MENYOKONG SAPP SEBAB SAPP ADALAH SEBUAH PARTI CINA"


Komen saya: Pertama, SAPP bukanlah sebuah parti Cina. Dalam Perlembagaan parti SAPP tiada sebarang perenggan pun yang menyebut bahawa SAPP adalah parti untuk kaum Cina sahaja. Malah SAPP adalah parti untuk semua tanpa mengira kaum. Hanya secara kebetulan Presidennya adalah seorang berbangsa Cina. Sama juga dengan PBS dimana secara kebetulan ketuanya dari bangsa Kadazandusun (KDM) tapi PBS bukan parti perkauman. Parti-parti Perkauman ialah UMNO (dimana dalam nama parti itu sahaja terdapat perkataan "Malay" atau Melayu), MCA (dimana terdapat perkataan "Chinese" pada namanya), MIC (dimana terdapat perkataan "Indian" pada namanya), PAS (dimana terdapat perkataan "Islam" pada namanya) dan UPKO (dimana terdapat perkataan "Kadazan Dusun Murut" pada namanya). SAPP ialah sengkatan "Sabah Progressive Party" dimana tidak langsung menyebut nama kaum.

Kedua, di Sabah harmoni kaum telah wujud sejak zaman nenek moyang kita lagi dan ini diturunkan ke generasi sekarang. Kita tidak persoalkan apa bangsa pemimpin kita asalkan dia bersikap adil. Sesungguhnya di Sabah sebelum kita menubuhkan Malaysia kita sudah ada "1Malaysia". Itu sebabnya parti berbilang kaum yang setia dengan perjuangan rakyat Sabah telah lebih menarik dan menambat hati orang Sabah (seperti Berjaya dan PBS pada suatu ketika dulu). Hanya apabila politik perkauman yang dipelopori oleh parti dari seberang kita telah terpengaruh dan mulai melihat seseorang itu dengan ‘suspicion’ kerana dia dari bangsa atau ugama yang berlainan.

Ketiga, Datuk Yong Teck Lee ("YTL") tidak pernah meminta supaya dilahir sebagai seorang Cina. Demikian juga Datuk Joseph Pairin Kitingan tidak memohon dilahirkan sebagai Kadazandusun, sama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengemukakan permohonan supaya dilahirkan sebagai seorang Melayu dan berugama Islam. Semua ini adalah kehendak Tuhan supaya kita sebagai maklukNya hendaklah datang dari berbagai-bagai bangsa dan keturunan. Jika rancangan Tuhan ialah supaya penduduk dunia ini hendaklah datang dari SATU bangsa sahaja maka dunia kita hari ini tidak diduduki dengan berbagai-bagai bangsa tapi hanya SATU bangsa atau ugama sahaja, mungkin bangsa Cina atau Arab atau yang lain sebagai pilihanNya. Pokoknya, bukan bangsa yang menjadi persoalan tetapi apa yang dilakukan oleh seseorang itu supaya kita semua hidup dalam suasana harmoni. Hidup harmoni hanya dicapai jika seseorang itu mengutamakan keadilan kepada semua dalam menjalankan kewajipannya sebagai pemimpin dan makluk Tuhan.

Keempat, YTL telah berjuang untuk menuntut keadilan untuk Sabah dimana hak-hak yang dijanjikan untuk Sabah pada 1963 telah dihakiskan. Saya rasa perjuangan seperti ini perlu disokong tidak kira pemimpin yang berjuang itu ialah seorang Cina, KDM atau Bumiputra Muslim. Jika perjuangan YTL bukan untuk Sabah dan rakyat Sabah beliau (dan beberapa pemimpin SAPP yang lain) tidak sanggup meninggalkan BN yang boleh menjamin dan memberikannya jawatan yang setaraf menteri dan projek-projek ratusan juta ringgit yang memberi keselesaan hidupnya seumur hidup.

Kelima, walaupun kita KDM mempunyai parti sendiri atau parti yang diketuai oleh bangsa sendiri ini tidak menjamin bahawa parti itu dapat membantu KDM dalam menyelesaikan masaalah ekonomi yang menghantui dan membuntui mereka sekian lama. Sebenarnya kita mempunyai PBS, UPKO dan PBRS tetapi apa yang parti-parti ini telah sumbangkan untuk kesejahteraan kaum KDM selama ini? (sila lihat Isu No. 1 dan Isu No. 2 dalam posting sebelum ini).

Keenam, seorang ahli politik veteran Sabah pernah berkata bahawa dalam memberi sokongan kepada pemimpin-pemimpin Sabah yang berjuang untuk hak-hak Sabah supaya kita tidak tenggelam di bumi sendiri, kita harus jangan memilih bangsa pemimpin-pemimpin itu. Analogi beliau lebihkurang begini: Katakan kamu adalah seorang KDM sedang terapung-apung di tengah lautan besar kerana kapal yang kamu naiki telah karam dilanda taufan. Setelah hampir mati lemas dan tenggelam menunggu bantuan, tiba-tiba sebuah bot laju dengan seorang di dalamnya sedang menuju kepada kamu untuk tujuan menyelamat kamu dari maut. Dan kebetulan penyelamat itu seorang Cina. Adakah kamu tengok dulu muka orang itu dan berkata "Mada oku dika, tulun kou Cina!" (Saya tidak mahu kamu kerana kamu orang Cina!). Atau kamu bersyukur dan berterima kasih kepadanya kerana sudi datang menyelamat kamu?

Ketujuh, kerjasama erat antara kaum di Sabah sudah menjadi satu fakta yang tidak boleh disangkal. Masih ingat pada 1976 dimana KDM, Cina dan Bumiputra Muslim bekerjasama menyingkir USNO dari meneruskan takta Kerajaan? Dan pada 1985 KDM dan Cina dapat bekerjasama menumbang Kerajaan Berjaya (Bumiputra Muslim ketika itu masih pada USNO dan Berjaya tetapi ikut serta kerjasama pada penggal kedua PBS). Kerjasama ini harus diteruskan untuk Sabah. Kalau kita pernah dan boleh bekerjasama dengan kuat sekali pada masa yang lalu, mengapa kali ini tidak boleh?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan