| March 15, 2012 (Fazy Sahir fmt)
Ahli Parlimen Gombak mahu Umno mengemukakan bukti lanjut. Sekitar Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyifatkan tuduhan yang dilemparkan Umno Selangor dengan mendakwa parti itu menggunakan khidmat agensi Yahudi untuk merancang kempen dan jentera Pilihan Raya (PRU12) lalu, adalah tidak berasas sama sekali.
Azmin, ahli Parlimen Gombak berkata jika tuduhan itu benar, beliau mahu Umno mengemukakan bukti lanjut.
“Jika benar mengapa tiada tindakan sehingga hari ini…kemukakan bukti. Sebab itu dalam perbahasan saya, saya minta Umno hentikan budaya fitnah, samseng dan tumpukan kepada soal rakyat, dasar dan program untuk mengangkat martabat rakyat,” katanya yang ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.
Umno Selangor baru-baru ini mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan khidmat agensi Yahudi membantu PKR merancang kempen dan jentera dalam PRU12.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata agensi itu, Yayasan Konrad Adeneur (KAF) membantu Anwar dari segi dana dan latihan modal insan, selain menyerap masuk badan pemikir (think tank) melalui Institut Kajian Dasar (IKD).
Mohd Zin dalam pendedahannya mendakwa berdasarkan sumber dalaman maklumat PKR sendiri, KAF turut memainkan peranan penting dalam memberikan dana pembangunan teknologi dan latihan kepada PKR.
Budaya fitnah
Azmin berkata, Umno kini tidak mampu mendepani isu rakyat sehingga membudayakan fitnah dan samseng tanpa sebarang asas untuk dilemparkan kepada pihak pembangkang.
Sementara itu, ketika diminta mengulas pengunduran Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat beliau berkata ia hanya sandiwara untuk memperbodohkan rakyat.
Ini ujar beliau, perletakan jawatan itu dibuat memandangkan ia tempoh akhir jawatannya pada 8 April depan.
“Ini hanyalah sandiwara dan usaha bodohkan rakyat. Namun rakyat hari ini matang dan tidak boleh diperbodohkan oleh Umno.
“Jika beliau bertanggungjawab, maka perlu letak jawatan lebih awal supaya proses perundangan dapat berjalan dengan telus tanpa sebarang campurtangan eksekutif,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan