Sabtu, 22 Januari 2011

PEMUDA UMNO TENOM SOKONG MEMO GSTT


Oleh: Mail Mathew

TENOM: Pergerakan Pemuda Umno disini menyokong penuh memorandum yang dikemukakan 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat kontrak akhir tahun lalu dan mengharapkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyambung semula perkhidmatan mereka sepertimana yang pernah dijanjikan.

Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar berkata demikian ketika memberitahu Harian Ekspress pada Jumaat berhubung masalah GSTT yang berkemungkinan besar rayuan mereka akan diambil perhatian serius oleh pihak berkenaan.

Beliau yang turut bersama mengiringi Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah, Norman Lantayan ketika menyerahkan memorandum rayuan sambungan perkhidmatan kepada Setiausaha Politik (SUP) Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, yakin masalah mereka akan diambil perhatian serius.

Katanya, SUP Timbalan Perdana Menteri Yusuf Haniff telah berjanji akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas itu.

Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Pusat menekankan bahawa beliau percaya kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran sebelum ini, Dr Mohd Puad Zarkashi yang memberi jaminan pihak KPM tidak akan memberhentikan sebahagian daripada 12,000 guru terbabit yang telah tamat kontrak tahun lalu.

Namun secara suci hati dan jujur tegasnya, KPM memerlukan sedikit masa untuk memproses pelanjutan tempoh perkhidmatan mereka yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

“Walaupun belum ada yang menerima surat tawaran sambungan kontrak perkhidmatan, tetapi saya yakin masalah ini akan dimuktamadkan dalam sedikit masa bagi mengelak pembelajaran terbantut kerana ada sekolah rendah yang kekurangan 19 orang guru,” ujar Jamawi lagi.

Kata Jamawi, beliau dimaklumkan Norman bahawa beberapa sekolah mengalami kekurangan guru yang terlalu serius sehingga mengganggu sistem pengajaran dan pembelajaran terutama di Sekolah Menengah Teknik Lahad Datu (19 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong, Tenom (13 orang) dan SMK Tandek, Kota Marudu (11 orang).

“Dalam hal ini saya akan menemui Menteri Kabinet Sabah yang bertanggung jawab berhubung potfolio Pelajaran di Sabah, Datuk Masidi Manjun untuk menzahirkan pandangan dan permohonan GSTT yang begitu penting,” tegas beliau.

Dalam masa yang sama tambahnya lagi, beliau meminta bantuan agar pihak Datuk Masidi dapat mempercepatkan proses penyambungan kontrak GSTT itu di Sabah kerana khuatir isu itu akan dijadikan modal politik pembangkang jika tidak diselesaikan dengan baik terutama ketika pilihanraya kecil DUN Tenang dan pilihanraya umum akan datang.

“Jasa dan sumbangan mereka banyak membantu kerajaan memperkasakan modal insan menerusi pendidikan. Komitmen tinggi mereka perlu dihargai, termasuk menerima tugasan di kawasan pedalaman yang serba kekurangan,” katanya. ENDS///..