Ahad, 15 November 2015

Jazlan: Ada usaha rekrut Pensyarah jadi anggota IS

IS
Terdapat usaha pihak IS untuk merekrut pensyarah di negara ini menjadi anggota kumpulan militan itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

 Beliau berkata kumpulan militan itu kini menjadikan negara seperti Malaysia dan Indonesia sebagai pusat merekrut pensyarah yang mahir dalam persenjataan dan letupan.

"Mereka (IS) beranggapan yang pergerakan mereka kurang dikesan jika menggunakan pensyarah dari dua negara ini namun, agensi keselamatan negara seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya mengekang aktiviti mereka ini," katanya ketika dihubungi Bernama di ibu negara, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar tempatan hari ini yang menyatakan adanya rancangan pembentukan satu kumpulan militan IS Asia Tenggara yang diketuai oleh bekas pensyarah Malaysia Dr Mahmud Ahmad.

Nur Jazlan berkata rancangan pembentukan satu kumpulan IS Asia Tenggara dilihat sebagai satu ancaman besar buat negara. Justeru itu, katanya perkara berkenaan tidak boleh dipandang ringan dan pihak berwajib seperti PDRM perlu memantau pergerakan kumpulan militan yang ingin dibentuk itu.

"Idealogi (kumpulan) mereka ini telah dipengaruhi oleh kumpulan pengganas Timur Tengah yang lebih ekstrem dan kejam seperti IS. Ini juga merupakan satu ancaman buat negara di Asia Tenggara," katanya.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata pertukaran maklumat yang lebih kerap antara negara jiran amat perlu untuk memantau aktiviti kumpulan militan ini. "Untuk menangani kumpulan ini, perlu pemantauan di internet memandangkan ini merupakan medium utama komunikasi mereka untuk memberi arahan.

"Selain itu, peralatan yang sesuai juga perlu ada untuk menangani kumpulan ini memandangkan pengganas ini membuat serangan dalam kumpulan kecil dan sukar dikesan," katanya.

Menurut laporan akhbar itu, Mahmud yang juga anggota militan IS akan membentuk kumpulan militan IS lebih besar di Asia Tenggara. Mahmud kini dilaporkan bersembunyi di selatan Filipina dan merancang melakukan serangan di beberapa negara termasuk Malaysia. -Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan digessa untuk melihat dengan lebih serius seruan untuk mengeluarkan semua kad pengenalan Malaysia di Sabah bagi memastikan penduduk yang sah kewarganegaraan memegang dokumen berkenaan.

PAIRIN
 Presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata syor berkenaan sekaligus membersihkan daftar kewarganegaraan dan daftar pemilih di Sabah daripada dicabuli oleh orang asing seperti Pendatang Tanpa Izin (PTI).

 “Golongan ini telah banyak mengeksploitasikan proses pemilihan dengan bantuan sindikit-sindikit dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

 “Kita menyeru agar syor-syor jawatankuasa teknikal berkenaan dengan RCI ini dapat dilaksanakan dengan segera dan serius oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Agung Tahunan yang ke-30, di sini hari ini. Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman, dan barisan pemimpin Barisan Nasional Sabah.

 Pairin berkata , isu PTI itu juga amat berhubungkait dengan keselamatandan kedaulatan Sabah dan Malaysia. Justeru itu Jawatankuasa Teknikal mengenai RCI pendatang tanpa izin di Sabah yang diketuai oleh beliau komited untuk memastikan segala cadangan penambahbaikan proses dan langkah menangani masalah PTI diambil kira dan diimplementasikan oleh kerajaan.

 Dalam pada itu beliau turut melahirkan kekesalannya atas peristiwa penculikan oleh pihak luar yang begitu mudah memasuki perairan negeri ini dan menculik.

“Kita sedar bahawa Kerajaan telah mengambil langkah untuk mempertingkatkan keberkesanan ESSCOM termasuk meningkatkan asset, tambah anggota dan melaksanakan perintah berkurung di tujuh daerah.

 “Dan kita juga difahamkan bahawa komando kita telah berjaya mematahkan lebih daripada tujuh kali cubaan penjenayah merentas sempadan untuk memasuki perairan kita terutamanya di perairan Semporna, Kunak dan lahad Datu,” katanya.

Namun demikian, seungguhpun kawalan ketat dilaksanakan namun masih berlaku penculikan kerana terdapat tali barut yang memberi maklumat tentang kedudukan dan pergerakan anggota keselamatan kepada penjenayah berkenaan.

 Oleh itu, beliau mengharapkan agar perisikan negeri perlu dipertingkatkan dan tidak hanya melibatkan penjenayah di luar tetapi juga yang berada di Sabah.- Oleh Dewiana Tinggolongon / sayangsabah. Baca selanjutnya: https://www.sayangsabah.com/seruan-keluarkan-kad-pengenalan-khas-untuk-sabah/