Selasa, 5 Ogos 2014

KERAJAAN PERLU ALTERNATIF BARU MENGGANTIKAN JAMBATAN NATANDUAN,PKR TENOM

Oleh: Ambrose M Matthew

TENOM: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tenom Masdin Tumas menggesa kerajaan agar mengkaji rungutan penduduk Kg Natanduan berhubung keperluan mereka bagi pembinaan sebuah jambatan menyeberangi Sungai Pegalan ke Taman Pertanian Sabah (TPS) selepas jambatan yang dicadangkan disitu dipindahkan ke Inalisan dekat Pusat Kebudayaan Murut (PKM).

Add caption
Beliau berkata, mereka (penduduk) mendakwa jika jambatan itu dibina di situ jarak perjalanan kira kira 10 kilometer menghubungkan pusat bandar lebih dekat dan ekonomik berbanding diInalisan dekat PKM sejauh lebih kurang 22 kilometer.

Masdin berkata demikian pada Ahad selepas mesyuarat pertama pembentukkan Ahli Jawatankuasa baru Cabang PKR Tenom yang diadakan di Padas View Chinta Mata dekat sini.

Beliau mengulas kenyataan seorang penduduk Kg Natanduan Jubair Lajuin baru baru ini, yang mendakwa bahawa mereka kecewa apabila jambatan Kg Natanduan berharga kira kira RM14.9 juta yang dipohon kampong itu sekitar tahun 1990an untuk menyeberangi Sungai Pegalan ke TPS telah dipindahkan ke Inalisan dekat PKM.

Walaupun senario sekarang ini sukar bagi kerajaan membetulkan keadaan itu kerana jambatan Natanduan yang dipindahkan ke tapak baru iaitu di Inalisan difahamkan sedang dalam pembinaan namun setidak tidaknya kerajaan melihatnya secara serius rungutan penduduk dengan membina sebuah jambatan gantung untuk mereka, tegas Masdin.

“ Saya tidak bersandar kepada laporan sebelum ini sebagai fakta sepertimana yang diceritakan seorang penduduk disitu (Jubair Lajuin) tetapi turut mendalami maklumat menerusi beberapa penduduk dikawasan terbabit ternyata butiran yang diberi adalah benar.

“ Namun kita tidak dapat berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan itu kerana rungutan mereka agak terlambat dimana pembinaannya difahamkan sudah bermula. Oleh itu, penduduk terbabit perlu akur dan menerima keputusan itu secara terbuka,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, khususnya nahas penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines System (MAS) yang turut mengorbankan 298 penumpang, Masdin menyifatkannya sebagai suatu malapetaka yang menimpa negara dan dalang disebalik kejadian itu harus diheret ke muka pengadilan.

 Beliau turut menyokong dan memuji langkah pemimpin Negara terutamanya Perdana Menteri Dato'Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak diatas kecekapannya merundingkan pelbagai perkara dengan kuasa kuasa besar dunia khususnya pihak Ukraine, puak pemisah Ukraine pro Russia untuk mendapatkan akses dalam menangani masalah MH17.

 Berhubung dengan perancangan PKR selepas pemilihan parti itu bagi Cabang Tenom baru baru ini Masdin berkata, beliau gembira kerana PKR disini kini melangkah ke dimensi baru untuk meneruskan perjuangan setelah mendapat mandat daripada perwakilan khususnya ahli ahli PKR.

 “ Kita menyokong penuh kepimpinan DSP Lajim Ukin untuk terus memimpin MPN Sabah dan begitu juga dengan kepimpinan MPP terutamanya Presiden PKR Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail…kita tidak berbelah bahagi diatas kepercayaan kita terhadap mereka untuk memimpin PKR,” tegasnya.

 Caption:- 1.IMG_6903- Kelihatan Masdin menyerahkan surat watikah perlantikkan Ketua Wanita PKR Tenom kepada Lusia Samuel@ Nadira Abdullah.