Ahad, 19 Ogos 2012

PKR TENOM RESAH APS TIDAK AJAK BERBINCANG

Oleh: Ambrose M Matthew

KEPIMPINAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tenom merasa kurang senang dengan kelibat pemimpin pemimpin sayap PKR dibawah Angkatan Perubahan Sabah (APS) kawasan disini kerana dikatakan langsung tidak melibatkan cabang parti itu atau setidak tidaknya dijemput untuk menyertai sebarang perbincangan yang melibatkan strategi parti.

MISERY R...resah kumpulan APS tidak ajak berbincang!
Demikian diluahkan Setiausaha Cabang itu Misery Raisimin 52, (gambar), ketika memberitahu media dalam satu kenyataan disini sehari sebelum Hari Raya Aidil Fitri bermula.

Beliau berkata, mereka harus faham bahawa untuk membulatkan kekuatan sesebuah parti untuk menghadapi pilihanraya umum, sepatutnya mereka tidak menyisihkan mana mana parti pembangkang untuk turut sama mengukuhkan perjuangan.

“ Kita bukan mahu bermusuhan dengan kumpulan APS malahan kita mahu mereka bersemuka dengan kita dan membincang startegi yang bakal dilakukan. Lebih manis lagi kalau gagasan pembangkang disini membina satu bilik gerakan bersama seperti SAPP, DAP, PKR, PAS dan APS,” tegasnya.

Menurut Misery, setakat ini pihaknya tidak mengetahui sejauh mana kekuatan perjuangan APS selain sekadar mendengar khabar angin mengenai mereka kerana pihaknya belum pernah bersemuka dengan pemimpin sebenar mengetuai APS disini.

Ketika ditanya berhubung peluang gagasan pembangkang untuk merampas kawasan disitu daripada BN pada PRU-13, yang merangkumi dua Dun (Kemabong dan Melalap) dalam Parlimen Tenom Misery membayangkan tidak bermasalah untuk pembangkang menaklukinya asalkan gagasan pembangkang cukup bersedia dengan formula satu lawan satu.

Dalam pada itu, Misery tidak menafikan bahawa SAPP merupakan parti pembangkang dikawasan Parlimen Tenom yang dianggap teratur organisasinya setakat ini malah mampu memberi cabaran sengit dengan BN pada PRU-13.

Bagaimana pun Misery turut sependapat dengan analisis analisis penulis blog mahu pun pendapat umum didalam laman sosial Facebook bahawa kecenderungan pengundi pada PRU-13 lebih berpihak kepada calon calon yang bakal diketengahkan berketerampilan sebagai pemimpin berwibawa dan mempunyai kecirian sebagai “winnable candidate” kerana pengundi muda kira kira 42 peratus sudah pasti berada diblok kawasan itu.

“ Besok besok jangan pula gagasan pembangkang menampilkan calon calon pemimpin bermusim untuk diketengahkan...sedangkan BN sudah pasti mereka menurunkan calon calon muda, berpendidikan dan berketerampilan sebagai pemimpin.

“ Setakat ini kita belum pasti siapa bakal calon pembangkang kerana itu bukan level kami untuk menentukannya...tetapi sebaik baiknya pemimpin muda yang belum tercalar latar belakangnya lagi baik,” tegas beliau ketika ditanya lanjut mengenai bakal calon pembangkang. ENDS///..