Rabu, 29 Ogos 2012

TUN M: Jika pembangkang memerintaha bahaya?

Oleh: Ambrose M Matthew

TENOM: Ketua Penerangan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Sabah Mutang Dawat @ Sylvester (gambar), membidas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad baru baru ini yang menyatakan bahawa jika berlaku perubahan tampuk kerajaan selepas pilihanraya umum kali ke-13 (PRU-13) kepada pembangkang amat bahaya kerana banyak perkara buruk akan berlaku.

MUTANG DAWAT @ SYLVESTER
Beliau berkata, selagi pemerintahan negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi, rakyat berhak menentukan siapa yang bakal meneraju negara dan tiada siapa boleh menghalang kemahuan mereka termasuk Najib dan Mahathir.

“ Kerajaan akan ditentukan rakyat menerusi peti undi...tiada siapa yang boleh menghalang atau mempengaruhi rakyat buat itu dan ini kerana rakyat lebih matang dan bijak dalam memilih kerajaan yang mereka suka.

“ Larangan untuk rakyat membuat perubahan menunjukkan bekas Perdana Menteri itu sama ada tidak memahami pengertian demokrasi atau buat buat tak tahu,” kata beliau dalam satu kenyataan disini pada Rabu sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri yang meminta supaya pembangkang tidak diberi peluang menerajui kerajaan selepas PRU-13.

Mutang berkata, sama ada Najib atau Tun Mahathir, tiada siapa yang percaya bahawa kedua dua tokoh itu tidak memahami sistem demokrasi, dimana perubahan pasti akan berlaku, dan ia bukan tugas parti memerintah yang menentukan tetapi segala galanya adalah di tangan rakyat.

Dalam pada itu, berhubung dengan isu 20 Perkara yang dibangkitkan semula oleh Ketua Pemuda Umno Keningau baru baru ini Mutang berkata,

“ Isu tersebut sudah bosan didengar dikhalayak ramai dimana pihak parti kerajaan asyik menepis berbagai tomahan pembangkang namun mereka (BN) tidak pun berusaha untuk membaikinya meskipun ada pemimpin BN itu sendiri mengakui bahawa 20 Perkara ada justifikasinya.

“ Kenapa harus terus terusan menentangnya jika ada diantara slotnya perlu dibaiki demi kebaikan dan keselesaan rakyat kerana dokumen itu merupakan sebahagian daripada asas persetujuan pemimpin pemimpin Sabah menyetujui pembentukkan Malaysia tahun 1963,” tegasnya.

Selain itu, Mutang turut mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa ketidakadilan dan tidak menghormati prinsip perkongsian kuasa yang tulen dalam gagasan BN menyebabkan ada diantara parti parti komponennya sanggup melanggar perpaduan mereka.

Adalah lebih baik bagi parti parti dalam komponen BN seperti PBS, PBRS dan UPKO meninggalkan sahaja gagasan BN untuk bersama sama dalam pembangkang bagi meneruskan perjuangan mereka untuk membela rakyat negeri ini daripada terus dibelenggu pelbagai karenah politik yang membosankan dalam BN, kata Mutang.

“ Kenyataan keras daripada Ketua Pemuda PBRS Sook Kahirin Bahador kelmarin (Selasa) berhubung hasrat Umno mengambil salah satu daripada kawasan Dun Parlimen Pensiangan pada PRU-13 cukup membuktikan ketamakkan Umno tanpa menghirau perasaan rakyat Pensiangan yang mempunyai penduduk 90 peratus masyarakat KDM,” tegas Mutang.