Ahad, 12 Februari 2012

PBS Kemabong kutuk kenyataan AG berhubung NCR

Oleh: Mail Mathew

KEMABONG: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Kawasan Kemabong Sabini Ansumor menyatakan perasaan kecewa dan terkejut dengan kenyataan yang disampaikan oleh Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Roderic Fernandez berhubung peruntukan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di dalam Ordinan Tanah Sabah (SLO) sebagai "tiada tanah NCR selepas 1930.


Katanya, jika itu lah tafsiran yang beliau berikan, maka secara langsung menyebabkan kesahihan keputusan Mahkamah bagi mana-mana perbicaraan lampau berkaitan dengan Tanah Adat sebagai diragui.

Bagaimana pun, Sabini berharap ianya merupakan suatu tafsiran pribadi dan bukannya tafsiran rasmi.

"Walau bagaimanapun saya melihat ini sebagai satu isu sensitif besar yang perlu ditangani segera, kerana di luar sana terdapat berpuluh ribu penuntut Tanah Adat. Jika isu ini tidak ditangani dengan bijaksana dan tiada tafsiran undang-undang yang berwibawa dibuat, saya risau akan wujud keadaan tidak terkawal,” kata beliau dalam satu kenyataan disini pada Sabtu.

Justeru itu tegasnya, sebagai pemimpin yang sentiasa berdamping dengan rakyat, beliau memohon agar isu berkaitan tafsiran itu dibangkitkan segera dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri kerana tidak mahu menyalahkan sesiapa namun hanya mahukan agar kebenaran diputuskan.

"Kita juga mahu Majlis Peguam mampu memberikan pandangan profesional dan merujukannya dengan sebarang keputusan Mahkamah sebelumnya.

"Sebagai pemimpin yang dilantik mewakili sekitar dua ribu lebih penuntut Tanah Adat penduduk asal dari Kemabong, tafsiran ini mewujudkan rasa tidak selamat dan kecewa penduduk. Saya menerima banyak pertanyaan, pandangan, keluhan dan tidak kurang juga menerima tempias kemarahan penduduk terhadap BN,” tegasnya.

Beliau bersyukur dan sependapat dengan, DSP Maximus Ongkili perihatin dan secara terbuka memperjuangkan tuntutan Tanah Adat menerusi Parti Bersatu Sabah.

Beliau menambah bahawa, jika itu tafsiran undang-undang (tentang Tanah Adat) itu seperti yang dikatakan oleh AG, maka sewajarnya satu pindaan perlu dibuat bertujuan melindungi dan memelihara hak asasi orang asal yang mempunyai tuntutan tanah adat.

"Saya dapat tahu isu berkaitan Tanah Adat ini menjadi isu pembangkang. Saya merayu agar wakil rakyat BN berusaha untuk menjaga kebajikan rakyat seperti yang diterapkan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi konsep 1 Malaysia: 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan,” tegasnya. ENDS///..

Jangan bimbang keritapi akan pulih sedikit masa lagi, Pengurus Besar JKNS!

Oleh: Mail Mathew

TENOM: Pengurus Besar Jabatan Keritapi Negeri Sabah (JKNS) Haji Mohd Zain bin Haji Mohd Said menjelaskan bahawa disebabkan kekurangan bilangan stokereta yang boleh beroperasi di sektor berkenaan sebagai punca utama perkhidmatan telah tergendala.

Katanya, masalah yang timbul disebabkan setakat ini hanya bergantung kepada 1 unit stokereta (lokomotif) ringan yang dibenarkan beroperasi di sektor berkenaan untuk menarik gerabak-gerabak penumpang yang ada.

Beliau menambah, di sektor ini hanya stokereta ringan sahaja dibenarkan untuk beroperasi disebabkan faktor keselamatan kerana landasan di sektor berkenaan berada dalam keadaan yang kurang baik dan masih dalam proses pembaikan.

Beliau berkata demikian kepada Harian Ekspress pada Sabtu sebagai mengulas laporan akhbar ini pada Febuari 3, berhubung beberapa rungutan penduduk sekitar Pangi yang diluahkan jurucakap mereka Ketua Kampong Udin Bangkiwoh yang meminta JKNS mencari alternatif lain sebagai pengangkutan sementara ketika perkhidmatan keritapi masih tergendala.

Tegasnya lagi, walaupun JKNS telah berusaha untuk mengurangkan kekerapan lokomotif itu mengalami kerosakan, namun disebabkan keadaan fizikal lokomotif terlalu usang (diperolehi tahun 1968) tambahan pula keadaan landasan yang kurang baik walaupun sedang dalam pembaikan ianya masih tidak dapat dielakkan.

“ JKNS berterima kasih atas laporan yang disiarkan dan memohon maaf kepada pihak-pihak yang terlibat, terutamanya penduduk kampong yang tinggal disepanjang landasan keretapi antara Beaufort dan Tenom diatas kesulitan yang mereka hadapi,” tegas Mohd Zain.

Mohd Zain seterusnya berkata, walaupun JKNS mempunyai beberapa buah stokereta baru (lokomotif dan DMU) yang diperolehi dalam tahun 2010, tetapi stokereta baru ini hanya boleh beroperasi di sektor Tg Aru dan Beaufort, dimana landasan di sektor ini telah dinaiktaraf kepada rel baru 80 lb/yd berbanding rel lama 60 lb/yd.

Bagaimana pun tambahnya, penaiktarafan landasan kepada rel baru di sektor Beaufort dan Tenom belum dapat disiapkan oleh kontraktor berkenaan sejak penghujung tahun 2005.

Dalam pada itu, mengikut perancangan asal JKNS, projek pemodenan (penaiktarafan landasan) sepatutnya disiapkan serentak dengan ketibaan lokomotif dan DMU baru berkenaan. Walaubagaimanapun, perkara itu tidak terlaksana disebabkan masalah-masalah teknikal tertentu yang tidak dapat diatasi, tegas Zain.

Selain itu, beliau turut menegaskan langkah langkah penyelesaianya seperti berikut, dimana sebagai penyelesaian jangka pendek, JKNS sedang berusaha untuk menyiapkan pembaikpulihan 2 unit lokomotif yang mana dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 1 dan 3 minggu masing-masing.

Manakala sebagai penyelesaian jangka panjang, JKNS akan berusaha untuk mendapatkan penggantian kepada stokereta-stokereta yang telah usang. Apa yang penting bahawa maklumbalas daripada pengguna khususnya penduduk pihak terbabit lebih positif yang kondusif kepada usaha JKNS untuk mendapatkan penggantian itu akan menjadi lebih mudah.

Beliau menambah bahawa penyelesaian jangka panjang berharap dapat dicapai memandangkan penyenggaraan lokomotif usang itu tidak semudah penyenggaraan kenderaan lain (kenderaan biasa), dimana komponen dan alat-alat ganti boleh diperolehi dengan mudah dipasaran tempatan.