Sabtu, 29 Januari 2011

SAPP TENOM KUNJUNGI PEKEDAI MENJELANG TBC


Oleh: Mail Mathew

TENOM: Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah memberitahu bahawa jentera bahagian parti itu disini sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya mengejut akan diadakan pada bila bila masa sepertimana khabar angin yang kini bertiup kencang pada ketika ini.

Tegasnya, sebelum ini pun bahagian itu sudah menggerakkan jentera pilihanrayanya dimana bermula awal tahun ini antara program ‘masuk kampong’ satu satunya program yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Program tersebut tegas Jimmy merupakan satu kerangka khas untuk menyalurkan idelogi parti berhubung misi dan visi termasuk perjuangannya untuk mengembalikan kuasa otonomi demi menjaga hak hak asasi rakyat dinegeri Sabah.

“ Kita mahu rakyat benar benar memahami perjuangan SAPP dan tidak mahu melihat rakyat dipesongkan lagi dengan pelbagai isu yang diputarbelitkan termasuk mengelakkan mereka terperangkap dengan janji janji manis semanis umpama madu lebah yang diungkapkan dibibir mereka,” kata beliau kepada Harian Ekspress pada Sabtu.

Jimmy berkata demikian sejurus selesai mengadakan kunjungan ke kedai kedai menjelang perayaan Tahun Baru Cina yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang diiringi beberapa pemimpin bahagian parti itu melakukan kunjungan ke kedai kedai termasuk penjaja pasar disini untuk menyampaikan ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada masyarakat Cina yang bakal menyambut perayaan Tahun Baru Cina (TBC) yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Mereka memulakan kunjungan itu kira kira jam 9 pagi dari pintu ke pintu kedai bersalaman dengan para pemilik kedai sambil menyerahkan kad ucapan TBC. Para pelanggan kedai yang juga pelalu lalang disitu tidak terkecuali bersalaman dengan pemimpin SAPP itu sambil menerima kad tersebut.

Turut sama dalam rombongan Jimmy itu terdiri daripada Rudy Sulaiman Mairi Naib Ketua Pergerakan Pemuda SAPP Pusat, Said Kaspan Setiausaha Bahagian SAPP Melalap, Pemimpin SAPP Kemabong Saul Salleh, Pegawai Penerangan SAPP Kemabong Ungkau N,C, Sandig dan beberapa pemimpin parti itu diperingkat akar umbi.