Isnin, 14 Mei 2012

STAR TIDAK AKAN ULANGI KESILAPAN PEMIMPIN TERDAHULU

Oleh: Ambrose M Matthew 

KEMABONG: Pengerusi State Reform Party (Star) Sabah Datuk Dr Jeffrey G Kitingan menyifatkan tindakan pemimpin terdahulu telah membuat keputusan tergesa-gesa dalam persetujuan pembentukan Malaysia melalui penyatuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Ini adalah antara punca utama hak asasi rakyat Sabah sepertimana yang terkandung dalam 20 Perkara mudah dimanipulasikan oleh pihak Persekutuan.  

Beliau berkata, telah terbukti seperti Negara Brunei dan Singapura yang kini jauh lebih maju dan pesat membangun malah memiliki ekonomi yang jauh lebih baik berbanding Sabah selepas sahaja mereka tidak meneruskan untuk bersama dalam pembentukkan Malaysia pada ketika itu (Singapura keluar dari Malaysia tahun 1965).

 “Walaupun terdapat beberapa pemimpin ketika itu mahukan Sabah merdeka terlebih dahulu sebelum menyertai pembentukkan Malaysia tetapi disebabkan janji-janji pemimpin Persekutuan yang kononnya akan memberi taraf otonomi dan status Negara kepada Sabah.

 “ Malahan pembentukkan itu kononnya akan membuka jalan sehala sebagai perkongsian kuasa dan hak antara Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu dimana membuatkan mereka terpikat lalu bersetuju,” kata Datuk Dr Jeffrey ketika melancarkan Parti Star dikawasan DUN Kemabong pada Ahad yang dihadiri kira kira 200 orang.

Jeffrey berkata, adalah kerana terlalu banyak tanggapan dipercayai berkisar kepada beberapa kemungkinan lain seperti termakan pujukan, terpikat janji janji manis mahupun ugutan menyebabkan keputusan “bersetuju” itu dibuat secara tergesa gesa. Kini Sabah telah melangkah tahun ke-49 usianya berada dalam gagasan Malaysia, sudah terbukti bahawa janji janji manis yang mereka (Persekutuan) pernah taburkan itu telah dimungkiri malah ianya sudah tidak selari dengan apa yang terkandung didalam 20 Perkara selain Sabah dilihat seolah olah telah dijajah dan sama taraf dengan 11 buah negeri diSemenanjong, tegas Jeffrey.

“Kita sepatutnya berstatus tiga wilayah yang sama rata haknya diantara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak manakala negeri negeri di Tanah Melayu adalah rangkaian jajahan dibawah naungannya,” ujar Jeffrey lagi.

Selain itu, Jeffrey turut menegaskan bahawa penahanan beliau dibawah ISA semasa dibawah teraju bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir merupakan satu satunya tindakan yang tidak demokratik dan berbaur ugutan kepadanya supaya aktiviti beliau untuk merungkai keadilan hak asasi rakyat tidak diteruskan.

“Mereka tahan saya dibawah ISA tetapi untuk beberapa tahun sahaja dan bukan selama lamanya, akhirnya saya dibebaskan juga. Bagaimana pun saya tidak serik diatas penahanan itu malah selepas itu terus menggandakan usaha memperjuangkan pembelaan hak asasi rakyat,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Datuk Dr Jeffrey turut menegaskan bahawa perjuangan Parti Star lebih memokuskan kepada penyatuan parti-parti tempatan wilayah Borneo untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum kali ke-13 (PRU-13).

Ketika menyatakan secara mendalam erti penyatuan parti parti tempatan Jeffrey menegaskan bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pembangkang sekiranya semua parti-parti tempatan dalam golongan pembangkang bersedia untuk bersatu bersama untuk menumbangkan BN.

 “Kita tidak ada masalah untuk mentadbir negeri Sabah dengan lebih baik dari BN kerana hasil mahsul Sabah sebenarnya berjumlah RM41 billion dan bukan sekadar RM4 billion sepertimana belanjawan Sabah pada baru baru ini,” jelasnya.

 “Kita akan mereformasikan pentadbiran Sabah terutamanya menyelaraskan hasil sumber galian dan lain lain ke tahap sama rata, menambah baik pengurusan tanah termasuk mengembalikan NCR kepada rakyat yang berhak dan bukan setakat diberi geran komunal,” tegas Jeffrey.

Diakhir majlis, bekas Penolong Setiausaha Bahagian UMNO Tenom Miling Oyot bersama beberapa ahli UMNO yang lain menyerahkan borang keahlian kepada Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk menyertai Parti Star.

Difahamkan jumlah keahlian Parti Star bagi DUN Kemabong setakat ini telah berjumlah seramai 800 orang. Ends///..

Caption:- 1. Gambar PALU GONG RASMI- Datuk Dr Jeffrey memalu gong 7 kali sebagi simbolik pelancaran parti Star Kemabong. 2. Gambar SERAH BORANG- Aping Abat bekas ahli UMNO menyerahkan borang keahlian seramai 300 orang kepada Datuk Dr Jeffrey. 3. Gambar PELANCARAN STAR – Datuk Dr Jeffrey ketika melancarkan Parti Star di DUN Kemabong.