Ahad, 9 Oktober 2011

BAJET 2012 MEMBIMBANGKAN?

Oleh: Ambrose M. Matthew

PEMBENTANGAN Bajet 2012 sejumlah RM232.8 billion oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak memang tidak dinafikan agak menyeronok apabila dibaca sekali imbas namun jika diamati secara mendalam terdapat beberapa
perkara yang tertinggal tidak diambil perhatian.


Bajet 2012 amat membimbangkan dari aspek struktural dan kitaran, atas faktor tiada keseimbangan di dalam usaha meningkatkan daya mampu ekonomi domestik dan mempersiapkan daya tahan negara menempuhi kesan kelembapan ekonomi luaran.

Pertumbuhan KDNK 2012 diunjurkan sekitar 5% - 6% di samping kadar inflasi yang masih berlegar di kadar 3% - 4% dan paras pengangguran di bawah 3.5%. Bajet 2012 memperuntukkan jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan buat 14 tahun berturut-turut.

Malahan anggaran defisit 4.7% bagi tahun 2012 berbanding 5.4% bagi tahun 2011 yang merupakan unjuran yang sangat optimistik berbanding situasi suku ketiga 2011 yang ditampung oleh impak kenaikan pendapatan hasil daripada sumber komoditi dan bahan asli.

Bagi menampung peningkatan perbelanjaan, kerajaan terpaksa meminjam dalam keadaan nisbah hutang kepada KDNK sekarang berada di paras 53% dan jika mengambil kira kemungkinan situasi kelembapan ekonomi bagi tahun akan datang.
Sebarang belanjawan tambahan akan hanya membebankan kadar hutang negara ke paras kritikal 60% seterusnya membawa kepada kancah krisis hutang negara sebagaimana yang dihadapi kuasa ekonomi Eropah sekarang.

Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri gagal memberi isyarat mengalu-alukan pelaburan baru dan sedia ada untuk turut serta dalam usaha transformasi ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi

Dalam senario ketidaktentuan pasaran di Eropah dan Amerika, pelabur-pelabur dari Timur Tengah, dan China mungkin akan mengalihkan tumpuan mereka kepada destinasi pelaburan yang mampu menjamin suasana kondusif untuk pelaburan, terutamanya untuk mengambil peluang peningkatan permintaan domestik dan kerancakan pembangunan, khususnya di dalam sektor komoditi dan perkhidmatan.

Pembentangan Bajet 2012 ini, jelas memperlihatkan gendang pilihanraya telah dibunyikan dan menandakan hari-hari yang mendatang bakal ditabur dengan agenda propaganda pihak kerajaan BN untuk mendapatkan keyakinan dan mandat rakyat di dalam pilihanraya umum ke-13.


.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------