Jumaat, 28 April 2017

PEWARSA, ROGER SOKONG SARANAN SHAFIE PESTA KAAMATAN CUTI UMUM SELURUH NEGARA

OLEH: ULU PADAS 


PEWARSA sebuah badan bukan kerajaan (NGO) turut menggesa kerajaan Persekutuan sebagaimana yang disarankan oleh Parti Warisan Sabah, iaitu pewartaan cuti umum untuk perayaan ini tidak hanya terbatas di Sabah tetapi perlu diperluas di seluruh negara. 

Dengan berbuat demikian, akan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat Malaysia khususnya suku kaum KDM di luar Sabah dapat merayakan pesta ini bersama ahli keluarga yang tercinta, kata Setiausaha Kehormatnya SORAYA Evangeline Kigis.

 Jelasnya, Pesta Kaamatan atau nama lain iaitu (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu untuk menghormati semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun-Murut sejak zaman berzaman.

Perayaan Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah pun diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Kolonial sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960an lagi, oleh AllahyarhamTun Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama pada ketika itu.

Pesta Kaamatan ataupun Tadau Kaamatan merupakan salah satu perayaan yang penting dan bermakna kepada masyarakat Kadazan-Dusun-Murut di seluruh Sabah tetapi zaman sudah berubah taburan masyarakat ini hampir terdapat di mana mana negeri di negara ini terutama di Lembah Klang dan Johor dengan berbagai faktor mungkin sebagai pekerja, pelajar atau perpindahan keluarga.

Kerajaan Persekutuan perlu peka melihat sensitiviti adat istiadat Kadazan-Dusun-Murut kerana perayaan ini bukan hanya merupakan simbolik budaya tetapi adalah lebih dari itu iaitu setaraf ritual sebagaimana anutan kepada agama yang lain yang ada di negara ini.

Oleh itu gesaan Dato Seri Shafie Apdal, Presiden Parti Warisan yang juga merupakan Ahli Parlimen Semporna untuk mengiktiraf cuti umum ke atas perayaan ini sebenarnya bukanlah satu isu politik semata-mata atau lain lain tafsiran yang memberi pengertian negatif.

Sebaliknya, pengiktirafan sebegini sekiranya dapat dipenuhi maka masyarakat KDM di Malaysia amnya dan Sabah khususnya sudah pasti akan merasa dihargai sebagai antara suku kaum utama di Malaysia.

 Dalam pada itu, seorang pemimpin masyarakat Murut dikawasan Tenom Roger Stimin turut mengalu alukan cadangan Presiden Warisan itu, yang harus mengambilkira peranan dan sumbangan masyarakat KDM dalam pembentukkan Malaysia sekitar tahun 1960an sehinggalah ke hari ini.

“ Sudah sampai masanya kerajaan mewartakan Pesta Kaamatan ini untuk melebarkan skop  perayaannya kepada lebih luas... selain itu, pengisian adat dan senibudaya masyarakat itu dapat difahami oleh keseluruhan rakyat Malaysia apabila perayaan ini berada diperingkat nasional,” jelasnya.