Sabtu, 2 Jun 2012

10 JUN, PENENTUAN LAJIM SERTAI PKR?

Oleh: GONOD SUNDA 


FAKTOR khabar angin kononnya MP Beaufort yang juga merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dijangka akan mengetuai beberapa pemimpin kanan BN berpindah ke PKR dalam satu majlis yang akan diadakan pada 10 Jun 2012 bakal menyaksikan cubaan kali kedua bagi beliau meninggalkan gagasan BN khususnya UMNO.

Ramai berpendapat bahawa jika benar khabar angin yang kini rancak bertiup kencang akan menjadi kenyataan maka bahtera UMNO-BN diSabah akan mengharungi badai dan ombak yang besar bagaikan tsunami yang pernah melanda Aceh suatu ketika dahulu.

Ditambah pula, Lajim bukan pemimpin politik yang calang calang untuk dicabar kerana beliau mempunyai pengalaman yang lebih luas dalam menentu rebah dan tumbangnya sesebuah parti sepertimana yang pernah dilakukannya sekitar tahun 1994 yang memaksa PBS tersungkur kerana hilang majoriti untuk meneruskan kerajaan.

Kerajaan PBS pimpinan Huguan Siou selaku Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang baru beberapa bulan mengangkat sumpah dihadapan TYT untuk membentuk kerajaan baru selepas pilihanraya umum terpaksa akur dan menjadi pembangkang di DUN Sabah manakala UMNO-BN berjaya membentuk kerajaan Sabah Baru sehinggalah sekarang.


Nampaknya, senario politik Sabah sudah berubah selepas lebih 17 tahun UMNO-BN yang membentuk kerajaan yang diberi jolokkan ‘Sabah Baru’ dimana pengamatan umum melihatnya bahawa besar kemungkinan talian hayat politik mereka tidak dapat dipertahankan lagi ketika menghadapi PRU13 berdasarkan kehangatan pelbagai isu yang sukar ditangkis mendepani UMNO-BN dimusim ini.

Selain isu isu sensasi seperti RCI, 20 Perkara, Autonomi, NCR dan kebanjiran PATI termasuk pemberian MyKad dan pemberian kerakyatan Negara ini kepada orang asing yang dianggarkan sejumlah kira kira 600,000 menerusi pintu belakang, malah isu isu dalaman UMNO itu sendiri turut menggegar dan dijangka satu satunya isu berbisa yang bakal merobohkan gagasan itu sendiri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan kempen sejuta belia diPutrajaya dan Ulangtahun UMNO di Stadium Bukit Jalil begitu optimis bahawa UMNO dan BN mampu mempertahankan Putrajaya dari ditawan pembangkang selepas PRU kali ke-13 namun kepastian mereka menjadi pudar apabila PAS dan PR berjaya berhimpun dengan jumlah kehadiran yang lebih kurang sama banyaknya di Stadium Kedah pada 1 Jun.

Mahu atau tidak, UMNO akan terpaksa memikul bebanan itu untuk meraih sokongan pengundi dengan terpaksa menggunakan perbelanjaan yang besar bagi menjana kos pembiayaan aktiviti mereka bermula dari sekarang kerana mereka terpaksa berbuat apa sahaja demi menyelamat Putrajaya dan juga bahtera UMNO dan BN daripada tenggelam dilautan dalam.

Menurut penganalisis politik pembangkang yang juga mewakili Central Strategik PKR telah merangka bahawa selain mengekalkan prestasi PR pada PRU-12 dengan perolehan MP yang dicapainya, PR hanya memerlukan tambahan 10 kerusi MP lagi untuk membolehkan PR menawan Putrajaya menerusi ‘simple majoriti’.

Bermakna, jika benarlah pemghijrahan MP Beaufort Datuk Lajim dan MP Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing ke dalam PKR maka statistik tentunya turut berubah kepada ‘gap’ yang kecil lagi dimana PR hanya memerlukan 8 MP untuk mencapai tujuan itu.

Apakah ini menjadi reality, kita sama sama menunggu kesudahannya.