Rabu, 25 November 2015

PEKAN BAHARU MELALAP SELUAS 200 EKAR LAMBAT KERANA MASALAH PEMILIKAN TANAH BELUM SELESAI

TENOM (21 November 2015) : Projek membina pekan baharu Melalap di kawasan tanah seluas 200 ekar masih terbantut pada masa ini kerana tanah terbabit yang dimiliki oleh Sime Darby Plantation Sdn Bhd belum diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh. 

Beliau yang juga Adun Melalap menambah walaupun Jabatan Tanah dan Ukur Sabah telah melakukan pengukuran tanah terbabit, namun projek itu hanya dapat dilaksanakan oleh kerajaan apabila penukaran hak milik tanah terbabit selesai.

Sime Darby Plantation Sdn Bhd memiliki dua ladang kelapa sawit di daerah Tenom iaitu Ladang Melalap dan Ladang Sapong.

"Saya difahamkan dalam mesyuarat lepas yang dihadiri oleh Sime Darby Plantation Sdn Bhd dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) selaku pengendali projek itu yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Sabah, syarikat itu bersetuju untuk mengeluarkan tanah-tanah dalam kawasan Ladang Melalap yang terbabit dengan projek itu secara berperingkat-peringkat agar ia tidak menjejaskan tanaman kelapa sawit dan operasi ladang berkenaan.

“Namun setakat ini, saya belum menerima maklumat terkini mengenai status projek itu daripada pihak terbabit. Saya berharap pihak terbabit khususnya Sime Darby mempercepatkan penyerahan hak milik tanah itu kepada Kerajaan Negeri Sabah agar projek itu dapat dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.

Projek itu merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Barisan Nasional Sabah untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar di negeri ini yang secara langsung juga akan mewujudkan pelbagai peluang ekonomi kepada rakyat berbilang kaum serta usahawan tempatan di daerah Tenom, tambahnya.

 Beliau berkata kepada media selepas merasmikan majlis penyampaian bantuan barangan sekolah sempena "Program Sinar Harapan-Program Back to School" anjuran bersama Yayasan Sime Darby dan Rotary Club Kota Kinabalu yang melibatkan 948 orang pelajar dari lapan buah sekolah rendah di daerah Tenom bertempat di Sekolah Kebangsaan Pulong, Melalap Tenom pada hari sabtu lepas.

Lapan sekolah rendah itu ialah SK Melalap, SK Jawa Sumbiling, SK Pangalat, SK St. Pius Pamilaan, SK Pulong, SK Lagud, SK Chinta Mata dan SK Ladang Ladang Sapong. Yayasan Sime Darby yang ditubuhkan pada tahun 1982 berperanan utama untuk mengendalikan pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsiblity) Sime Darby Plantation Sdn Bhd di negara ini.

Beliau menambah kerajaan sentiasa menggalakkan agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan untuk menganjurkan program-program kemasyarakatan yang boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan-kawasan luar bandar di negeri Sabah.

 “Inisiatif Yayasan Sime Darby dan Kelab Rotary mengadakan program sedemikian di kawasan-kawasan luar bandar di negeri ini akan meningkatkan hubungan kerjasama dengan penduduk tempatan dan wajar dicontohi oleh agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang lain.

“Sumbangan Yayasan Sime Darby itu membantu meringankan bebanan para pelajar dari keluarga berpendapatan rendah serta memupuk motivasi diri para pelajar berkenaan untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan pendidikan mereka,” katanya lagi.

 Beliau juga menyarankan agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan untuk memberikan sumbangan alat bantu pengajaran yang boleh meningkatkan prestasi para pelajar serta bantuan kewangan untuk menampung kos penyelenggaraan kemudahan-kemudahan di sekolah-sekolah di kawasan-kawasan luar bandar.

Turut hadir di majlis itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat kawasan Melalap, Simon Mamat, Pegawai Pelajaran Daerah Tenom, Azlan Demon, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah, Stanis Buandi, Pengurus Kanan Yayasan Sime Darby, Mudzalifah Nasir, Pengurus Ladang Melalap dan Sapong, Fuadi Manaf, Presiden Kelab Rotary International, Jack Ong, Penyelaras Program Sinar Harapan-Back To School, George Taitim Tulas, Datin Angelin Tom serta para guru besar, guru-guru dan ibu bapa pelajar dari sekolah-sekolah rendah berkenaan.