Sabtu, 26 Mei 2012

JANGAN BIMBANG BANTUAN TERUS KEKAL SELEPAS BN TUMBANG, ROGER STIMIN

Oleh: Ambrose M Matthew 

TENOM: Ahli Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) Roger Stimin mengingatkan rakyat bahawa mereka tidak perlu gusar atau bimbang berhubung bantuan yang mereka terima sekarang ini daripada kerajaan BN akan hilang selepas BN tumbang pada PRU-13 dan digantikan kerajaan baru. 


Beliau berkata, kemudahan bantuan yang mereka terima sudah menjadi dasar kerajaan walaupun kerajaan ditukar berulangkali tetapi sekiranya pembangkang ditakdirkan mengambil alih tampuk kerajaan dasar tersebut tidak akan berubah malah akan berterusan.

Tegasnya, tanggung jawab rakyat selaku pengundi perlu bersikap rasional dalam setiap tindakan mereka supaya melakukan pilihan yang tepat demi masa depan anak cucu cicit, seterusnya menolak jenis pemimpin yang suka mungkir janji dan mereka yang bersikap suka bermuka muka ketika mereka memerlukan sokongan rakyat.

“ Kalau SAPP membentuk kerajaan selepas PRU-13, kita akan teruskan dasar dasar kerajaan yang sedia ada tetapi kita kena semak mana mana dasar yang kurang baik kita perbaiki atau ditambah nilainya...pembangunan dikawasan kampong ditingkatkan,” kata beliau ketika merasmikan Pesta Kaamatan Kg Barung-Namaatan pada Jumaat.

“ Kita akan bangunkan sektor ekonomi kearah yang lebih pesat terutamanya dari segi pertanian dengan menggalakkan seisi keluarga menanam tanaman kontan seperti ubi, tebu, papaya secara komersial sama ada dipasarkan secara terus atau diproses dijadikan produk makanan atau minuman segera,” tambahnya.

Dalam pada itu, Roger turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan BN mengalami kesukaran yang agak tenat untuk melaksanakan pembangunan dengan pantas kerana mereka terpaksa mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum sesuatu pembangunan itu dilaksanakan.

Tegasnya, tidak ada sesuatu pembangunan boleh dilaksanakan sebelum kelulusan mutlak diperolehi daripada kerajaan pusat kerana kerajaan BN diSabah tidak diberi kuasa autonomi untuk melaksanakan projek pembangunan tanpa kelulusan pusat.

“ Walhal...ketika pembentukkan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sekitar tahun 1963...kita adalah sama rata kuasanya. Jikalau kita rujuk asas perjanjian pembentukkan Malaysia sepertimana termaktub dalam 20 Perkara, pembangunan adalah hak kita untuk melaksanakannya...anehnya, mengapa perlu dirujuk lagi perkara tersebut ke kerajaan pusat,”tegas Roger.

“ Kita juga sepatutnya menikmati kemajuan pesat selari dengan kepesatan kemajuan di Semenanjong...jalanraya berkelas tinggi, bangunan bangunan tinggi, bangunan sekolah yang baik kerana status kerajaan kita adalah sama rata,” tambahnya lagi. Ends///..