Ahad, 30 Disember 2012

MAMPUKAH LAGI RADIN PERTAHAN KERUSI DUN MELALAP PADA PRU13?


Oleh: AMBROSE M MATTHEW

SUSULAN kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman ke majlis sambutan Krismas tahun 2012 dikediaman Pembantu Menterinya Datuk Radin Malleh di Kg Makakumpai dekat sini pada Jumaat ramai yang memberi reaksi positif bahawa beliau (Radin) masih popular dikawasan Dun Melalap.

RADIN DAN MUSA
Malahan beberapa pemimpin akar umbi antaranya bekas Ketua Daerah Haji Maribin Rugin, Pemaju Mukim Simon Mamat dan Sidekly Sunggin meramalkan bahawa beliau masih berupaya untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihanraya umum kali ke-13 (PRU-13) akan datang ini.

Kemungkinan mereka itu didasarkan kepada sambutan masyarakat sekeliling yang dianggarkan kira kira 2,000 orang yang membanjiri perkarangan Datuk Radin Malleh ketika menyambut ketibaan Ketua Menteri Sabah itu untuk menghadiri acara rumah terbuka Krismas yang julung kali dihadirinya.

Keintiman antara Musa dan Radin dimajlis itu turut menguatkan tanggapan mereka bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah yang diterajui Musa masih mengiktiraf kepimpinan Radin dikawasan Melalap dan seterusnya kepada kerajaan Negeri ini.

Bagaimana pun, tidak kurang juga pihak lain berpendapat bahawa, masih banyak lagi yang perlu dilakukan Radin untuk memantapkan lagi sokongan rakyat disini terhadap BN sekiranya beliau diberi mandat sekali lagi oleh pucuk pimpinan untuk mempertahankan kawasan disitu pada PRU-13 bagi penggal yang ke-5 baginya.

RADIN DAN MUSA...bersama pemimpin lain dalam BN
Namun terdapat juga beberapa pendapat lain yang berbeza mendakwa bahawa kunjungan yang ramai seperti itu bukan luar biasa tetapi adalah dari aspek amalan biasa kunjung mengunjung sempena sambutan perayaan Krismas, lebih lebih lagi ia dikunjungi Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman selaku tetamu kehormat majlis itu.

Radin yang berasal dari Kg Entabuan merupakan salah seorang terpelajar suku Murut yang pertama mendapat Izajah dalam bidang perundangan (LLB) dari United Kingdom sekitar tahun 1980an dan pernah dilantik ke jawatan Ketua Trafik Polis Negeri berpangkat Penguasa Polis sejurus selepas beliau kembali ke negeri ini setelah mendapat Izajah tersebut.

ROGER MELAWAT KAWASAN DAN MENDERMA KEPADA YANG MEMERLUKAN BANTUAN..
Dalam pada itu, dipihak pembangkang juga tidak kurang hebatnya; meskipun gelombang politik mereka sering bergelora sesama sendiri namun kehadiran muka baru yang juga seorang Peguam Roger Stimin 32, yang berkemungkinan besar akan dicalonkan oleh Parti Maju Sabah (SAPP) dikawasan Dun Melalap pada PRU-13 disifatkan banyak pihak sebagai pencabar utama Radin.

Roger Stimin seorang pendatang baru dalam arena politik berasal dari Kg Pulong merupakan lulusan Undang Undang (LLB) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga Diploma dalam bidan Perniagaan, kini sedang giat mengatur program menjelajah pelusuk kampong untuk memperkenalkan dirinya selain membiasakan dirinya terhadap penghidupan rutin harian penduduk.

Kawasan Dun Melalap mempunyai pengundi terdaftar seramai 10,485 (daftar pengundi tahun 2011) dimana dalam jumlah tersebut pengundi suku KDM dianggarkan 60 peratus, Bumiputra Islam 15 peratus manakala pengundi Cina sejumlah 25 peratus. Ends///..