Isnin, 5 Mac 2012

PEGUAM BESAR NEGERI DITUNTUT BAYAR SOGIT, HINA NCR

Oleh: Ambrose M. Matthew

TENOM: Selepas beberapa hari laporan Polis dibuat terhadap Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Roderic Fernandez berhubung isu hak tanah adat Bumiputera (NCR) dengan orang yang sama Rainus Sagulau kini beliau memfailkan satu lagi saman adat dari suku keturunan Murut di Mahkamah Anak Negeri disini pada Khamis.

Rainus mendakwa bahawa suku kaum Murut kini kekal mengamalkan ADAT ISTIADAT dimana kenyataan Roderic itu terdapat perlanggaran terhadap amalan adat kesukuan Murut yang serius.

Katanya, ia telah telah mengguris dan menyinggung perasaan kesukuan itu malah mereka menganggapnya seolah olah masyarakat itu tidak wujud dalam perkampungan NCR yang diwarisi mereka sejak turun temurun.

“ Perkampongan NCR di Abingkoi, Korolok, Ahuron dan Pongolobon dalam Mukim Rundum telah diduduki oleh nenek moyang kami sejak turun temurun sebanyak lima keturunan/generasi...tidak mungkin kami dinafikan hak dalam NCR semudah itu,” tegas Rainus.
Ketika ditanya apakah yang mereka kehendaki jika Peguam Besar itu bersedia menmghadirkan diri menghadapi prosiding Mahkamah Anak Negeri Rainus berkata,

“ Setidak tidaknya Datuk Roderic meminta maaf kepada masyarakat Murut yang menduduki kawasan NCR kerana telah tersinggung dengan kenyataannya sebelum ini dan sudi menarik balik...tetapi adat yang berbentuk sogit tetap dijalankan mengikut pertimbangan Mahkamah Anak Negeri,” tegas Rainus.

Kepada soalan tambahan berapa agak agaknya sogit yang dimaksudkan itu Rainus berkata, kalau amalan adat mengikut kepercayaan “orang orang tua” suku Murut terdahulu dimana sekurang kurangnya satu ekor kerbau untuk disembelihkan demi untuk kesejahteraan penduduk dikawasan berkenaan.

LAPORAN SEBELUMNYA

SATU LAGI LAPORAN POLIS MENENTANG KENYATAAN PEGUAM BESAR ISU NCR

TENOM: Pengerusi Persatuan Penduduk Pakat Kg Abingkoi Mukim Rundum Rainus Sagulau 40, membuat satu lagi laporan Polis supaya siasatan dilakukan berhubung kenyataan Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Roderic Fernandez berhubung peruntukkan Tanah Hak Adat Bumiputra (NCR) dalam Ordinan Tanah Sabah (SLO) beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, selepas kenyataan Peguam Besar itu beliau berserta penduduk disitu kira kira seribu orang merasa bimbang hak mereka yang menduduki tanah NCR akan terhakis buat selama lamanya dan menjadi pelarian dibumi sendiri.

“ Kami tinggal disitu mewarisi nenek moyang kami sejak tahun 1928 yang mana tahun itu merupakan kelahiran nenek saya Mangga bin Guna. (Jadi)...mengapa pula NCR tiada selepas tahun 1930...inilah persoalan kami,” kata beliau kepada Harian Ekspress pada Jumaat selepas beliau membuat laporan Polis disini yang ditemani beberapa penduduk disitu.

Rainus berkata, beliau menggesa pihak berkuasa khususnya kerajaan Negeri Sabah agar membetulkan keadaan itu dengan sewajarnya kerana selagi ianya tidak dibetulkan rakyat terutamanya masyarakat Murut yang menduduki kawasan NCR senantiasa berada dalam kebimbangan kerana khuatir kalau kalau mereka diusir lagi.

“ Kita mahukan keadilan daripada kerajaan kerana selain untuk terus dibenarkan menduduki kawasan NCR, dimana lagi kami mahu merempat sedangkan kami adalah pewaris tulen kepada tanah tumpah darah nenek moyang kami,” tegas Rainus.

“ Kami amat terkejut dengan kenyataan Peguam Besar itu tetapi kami juga tertanya tanya diri kami sendiri...apakah tafsiran Peguam Besar itu tepat atau apakah kenyataannya merupakan pendirian kerajaan? Inilah isu yang kami ingin tahu dan minta disiasat,” tambahnya sambil meminta perkara itu diselesaikan sebelum pilihanraya umum kali ke-13.

Dalam pada itu, Rainus mendakwa bahawa beliau telah pun memperjuangkan hak tuntutan NCR disitu selama 16 tahun lalu supaya diberikan hak kepada penduduk disitu tanpa syarat namun sehingga sekarang niat mereka terus lenyap begitu sahaja.