Ahad, 12 Februari 2012

Jangan bimbang keritapi akan pulih sedikit masa lagi, Pengurus Besar JKNS!

Oleh: Mail Mathew

TENOM: Pengurus Besar Jabatan Keritapi Negeri Sabah (JKNS) Haji Mohd Zain bin Haji Mohd Said menjelaskan bahawa disebabkan kekurangan bilangan stokereta yang boleh beroperasi di sektor berkenaan sebagai punca utama perkhidmatan telah tergendala.

Katanya, masalah yang timbul disebabkan setakat ini hanya bergantung kepada 1 unit stokereta (lokomotif) ringan yang dibenarkan beroperasi di sektor berkenaan untuk menarik gerabak-gerabak penumpang yang ada.

Beliau menambah, di sektor ini hanya stokereta ringan sahaja dibenarkan untuk beroperasi disebabkan faktor keselamatan kerana landasan di sektor berkenaan berada dalam keadaan yang kurang baik dan masih dalam proses pembaikan.

Beliau berkata demikian kepada Harian Ekspress pada Sabtu sebagai mengulas laporan akhbar ini pada Febuari 3, berhubung beberapa rungutan penduduk sekitar Pangi yang diluahkan jurucakap mereka Ketua Kampong Udin Bangkiwoh yang meminta JKNS mencari alternatif lain sebagai pengangkutan sementara ketika perkhidmatan keritapi masih tergendala.

Tegasnya lagi, walaupun JKNS telah berusaha untuk mengurangkan kekerapan lokomotif itu mengalami kerosakan, namun disebabkan keadaan fizikal lokomotif terlalu usang (diperolehi tahun 1968) tambahan pula keadaan landasan yang kurang baik walaupun sedang dalam pembaikan ianya masih tidak dapat dielakkan.

“ JKNS berterima kasih atas laporan yang disiarkan dan memohon maaf kepada pihak-pihak yang terlibat, terutamanya penduduk kampong yang tinggal disepanjang landasan keretapi antara Beaufort dan Tenom diatas kesulitan yang mereka hadapi,” tegas Mohd Zain.

Mohd Zain seterusnya berkata, walaupun JKNS mempunyai beberapa buah stokereta baru (lokomotif dan DMU) yang diperolehi dalam tahun 2010, tetapi stokereta baru ini hanya boleh beroperasi di sektor Tg Aru dan Beaufort, dimana landasan di sektor ini telah dinaiktaraf kepada rel baru 80 lb/yd berbanding rel lama 60 lb/yd.

Bagaimana pun tambahnya, penaiktarafan landasan kepada rel baru di sektor Beaufort dan Tenom belum dapat disiapkan oleh kontraktor berkenaan sejak penghujung tahun 2005.

Dalam pada itu, mengikut perancangan asal JKNS, projek pemodenan (penaiktarafan landasan) sepatutnya disiapkan serentak dengan ketibaan lokomotif dan DMU baru berkenaan. Walaubagaimanapun, perkara itu tidak terlaksana disebabkan masalah-masalah teknikal tertentu yang tidak dapat diatasi, tegas Zain.

Selain itu, beliau turut menegaskan langkah langkah penyelesaianya seperti berikut, dimana sebagai penyelesaian jangka pendek, JKNS sedang berusaha untuk menyiapkan pembaikpulihan 2 unit lokomotif yang mana dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 1 dan 3 minggu masing-masing.

Manakala sebagai penyelesaian jangka panjang, JKNS akan berusaha untuk mendapatkan penggantian kepada stokereta-stokereta yang telah usang. Apa yang penting bahawa maklumbalas daripada pengguna khususnya penduduk pihak terbabit lebih positif yang kondusif kepada usaha JKNS untuk mendapatkan penggantian itu akan menjadi lebih mudah.

Beliau menambah bahawa penyelesaian jangka panjang berharap dapat dicapai memandangkan penyenggaraan lokomotif usang itu tidak semudah penyenggaraan kenderaan lain (kenderaan biasa), dimana komponen dan alat-alat ganti boleh diperolehi dengan mudah dipasaran tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan