Ahad, 5 Februari 2012

JKNS perlu mentransformasi sistem pengangkutannya?

Oleh: Thamppareq Kitoes

TENOM, Febuari 5: Penduduk dikawasan Pangi yang dianggarkan hampir 3,000 orang merangkumi 6 perkampongan terus mendesak kerajaan khususnya Jabatan Keritapi Negeri Sabah (JKNS) agar melakukan sesuatu yang terbaik bagi menangani masalah kerosakan jentera lokomotif yang mengakibatkan perkhidmatan keritapi terus tergendala yang kini sudah menjangkau lebih sebulan.


Setidak tidaknya satu langkah alternatif JKNS harus lakukan sebagai langkah sementara bagi membantu para pengguna/penduduk dikawasan terbabit untuk menyelesaikan urusan seharian mereka ke bandar selain untuk menmbawa keluar hasil tani mereka ke bandar untuk dipasarkan.

Demikian dinyatakan mantan Pengerusi JKKK Kg Pangi Manggang Ingkim 66, yang turut disokong Ketua Kampong (KK) Kg Motolop KK Solomon Tandon 47, dalam satu kenyataan disini pada Ahad.

“ Kami bukan mengkritik kerajaan secara membabi buta atau pun menuduh kerajaan lemah tetapi kami sedia menjemput sama ada pegawai mahu pun wakil rakyat datang sendiri melihat keadaan kami disini apakah benar masalah yang kami timbulkan ini atau sebaliknya,” tegas Manggang.

“ Kalau perkhidmatan itu tergendala sekadar sehari dua itu perkara biasa…tetapi bayangkanlah kalau perkhidmatan itu sudah tergendala lebih sebulan, siapa tidak marah…lagi pun kami tiada laluan lain selain daripada mengharapkan perkhidmatan keritapi untuk urusan seharian penduduk disini,” tambah Manggang lagi dengan nada yang agak marah.

Perkampongan yang terlibat mengharapkan perkhidmatan keritapi setiap hari merangkumi Kg Rayoh, Kg Batu 75, Kg Batu 78, Kg Kalandos, Kg Pangi Proper, dan Kg Motolop termasuk anak anak sekolah yang belajar di SK Pangi.

Manggang seterusnya berkata, adalah kurang lojik jikalau jentera lokomotif yang berusia lebih 30 tahun dimana sudah jelas kelihatan keuzuran dan kedaifannya masih terus digunakan sebagai teras perkhidmatan pengangkutan kepada penduduk disini yang semakin meningkat termasuk mengangkut hasil tani seperti getah, kopi, padi yang mencecah kira kira lebih seribu tan sebulan tidak termasuk penumpang.

Apakah ia masih terus bertahan dalam keadaan sedemikian rupa atau kerajaan perlu mentransformasikan pengangkutan awam seperti yang diwar warkan keraaan ketika ini? Mana sudah slogan kerajaan “ Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”? Kalaulah benar isi kandungan slogan ini dilaksanakan mengikut intipatinya, tidak mungkin penderitaan penduduk Pangi berlaku sepertimana apa yang berlaku hari ini.

“ Kami penduduk disini memberi kata dua kepada kerajaan sama ada kerajaan menangani masalah pengangkutan kami secara serius atau kami terpaksa menggunakan troli buatan sendiri yang diharamkan kerajaan sebelum ini, kerana kami terpaksa dan tiada pilihan lain. Bukan sahaja itu malahan talian telekomunikasi seperti yang pernah dijanjikan Timbalan enteri Persekutuan tahun 2011 sehingga sekarang tiada juga menara dibina…apa sudah jadi dengan janji Timbalan Menteri itu,” tegas Manggang.

Sementara itu, KK Solomon Tandon turut merasa gusar dan terkilan dengan keadaan itu dimana beliau menyifatkan perkampongan Pangi dan sekitarnya seolah olah berada diluar dunia lain kerana tidak menikmati kemudahan asas yang baik sepertimana terdapat di perkampongan lain, sedangkan Pangi dikategorikan berada dilokasi berhampiran dengan pekan dimana jaraknya sekadar 9 kilometer sahaja.

Justeru, kedua dua pemimpin tersebut ( KK Solomon dan Manggang) menggesa kerajaan supaya masalah perkhidmatan keritapi yang dihadapi penduduk penduduk sekitar Kg Pangi diselesaikan secepat mungkin dan bukan sekadar kata kata ibarat melepaskan batuk ditangga sahaja.
Ends///..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan