Isnin, 17 Januari 2011

PAS UMUM EXCO MUSLIMAT PUSAT CALON PRK DUN TENANG

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Exco Dewan Muslimat PAS pusat Normala Sudirman dipilih untuk mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Pemilihan Normala, 38, seorang guru sekolah menengah diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Labis malam ini.

Ini kali pertama PAS menurunkan seorang wanita bertanding dalam pilihan raya kecil sejak Mac 2008.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang adalah yang ke-14 selepas pilihan raya umum ke-12.

Sebelum ini kedengaran Barisan Nasional juga akan menurunkan calon wanita.

Ketua Dewan Muslimat kawasan Labis juga merupakan muka baru dalam pilihan raya.

Beliau dipilih daripada kalangan lima nama yang disenaraipendekkan oleh jawatankuasa kerja PAS pusat awal minggu lalu.

Pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember tahun lalu.

Kawasan DUN Tenang merupakah salah satu kubu kuat Umno di Johor.

Dalam pilihan raya umum 2008, Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS, dengan kelebihan 2,492 undi.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu ditetapkan pada 22 Januari ini dan hari pengundian pada 30 Januari.

Barisan Nasional akan mengumumkan calonnya Rabu ini.

Normala yang mempunyai tiga orang anak difahamkan telah meletakkan jawatan sebagai guru minggu lalu. Suaminya juga seorang guru.

Beliau juga merupakan pengerusi lajnah pendidikan Dewan Muslimat PAS pusat.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika ditanya mengenai keputusan memilih wanita sebagai calon kali ini berkata, PAS mahu menganjak senario politik Johor yang lebih ceria dan progresif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan