Selasa, 29 Mac 2011

SEGERAKAN PEMBAIKAN JALANRAYA KG MANSASOH


Oleh: MAIL MATHEW Penduduk Kg Mansasoh dalam daerah Kemabong menggesa kerajaan agar menyegerakan kerja-kerja membaikpulih jalanraya sejauh kira-kira 4 km dari simpang besar menuju ke pusat perkampungan kerana jalanraya tersebut tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan; terutama membawa keluar hasil tanaman mereka untuk dipasarkan.

Malahan masalah kerosakan tersebut yang telah berlaku lebih dua tahun lalu dan telah pun disuarakan kepada pihak tertentu menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Kg Mansasoh, namun sehingga sekarang tiada tanda- tanda tindakan telah diambil.


Jurucakap penduduk, Rasat bin Risut, 45, berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net pagi tadi bahawa beliau terpaksa meluahkan kekesalan menerusi media sebagai jalan terakhir untuk mendapatkan perhatian pihak berkenaan.

“Kita kesal dengan kelembapan pihak tertentu menangani masalah kami di sini sedangkan masalah itu berulangkali sudah dikemukakan kepada Pejabat Daerah Tenom, tetapi kami tidak faham mengapa ia seolah-olah tidak dipedulikan,” tegas Rasat sambil mengharapkan agar pihak atasan akan termaklum rungutan mereka itu.

“Kami juga ada projek tanaman pertanian jenis papaya di bawah kelolaan Jabatan Pertanian tetapi kelancaran pelaksanaannya terbantut disebabkan masalah jalanraya yang tidak baik,” tambah Rasat.

Rasat menegaskan bahawa beliau kesal hasrat kerajaan untuk mendahulukan rakyat dalam mengatasi serba serbi masalah yang dihadapinya sepertimana yang sering diungkapkan pemimpinnya; namun aspirasi itu tidak akan kesampaian matlamatnya selagi pihak pelaksana gagal memenuhi kehendak pemimpin berkenaan.

Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Kg Mansasoh, Zakaria @ Miong b. Laminit, 50, ketika dihubungi menjelaskan bahawa masalah tersebut telah pun dikemukakan kepada Pejabat Daerah (Pegawai Daerah) sejak tahun lepas untuk tindakan namun sehingga sekarang belum ada apa apa tindakbalasnya.

“Kita juga sudah berulangkali membuat ‘folow up’ segala permohonan kami tetapi kita tidak faham kenapa ia terus menyepi begitu sahaja,” tegas Zakaria.

Menurut Zakaria lagi, jalanraya tersebut telah pun dinaiktaraf dan diaspal kira-kira lebih 10 tahun yang lalu tetapi disebabkan terlalu banyak kenderaan berat yang berlalu lalang di situ, menyebabkan jalanraya itu mengalami kerosakan teruk sejak lebih dua tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan