Ahad, 23 Januari 2011

Dr M: Perlembagaan tak berubah, tak perlu patah balik.



Oleh Boo Su-Lyn (The Malaysian Insider)
January 23, 2011

DR MAHATHIR berkata terpulang kepada Raja-raja sama ada menerima atau tidak nasihat daripada PM atau MB. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 23 Jan — Perlembagaan Persekutuan tidak pernah mengalami perubahan meskipun ia dipinda pada 1993 untuk mengehadkan kuasa Raja-raja Melayu, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu kata perdana menteri selama 22 tahun ini, Perlembagaan Persekutuan jelas memperkatakan bahawa perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar perlu memberi nasihat kepada Agong atau Sultan.

“Sama ada raja-raja menerima nasihat itu ataupun tidak itu soal lain,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melancarkan Viva Palestina Malaysia di sini malam tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau menyokong usaha kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat meminda perlembagan negeri untuk kembali kepada situasi sebelum 1993, bekas presiden Umno ini berkata: “Tiada apa-apa untuk perlu balik (ke kedudukan asal). Perlembagaan tidak berubah.”

Selangor akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri esok untuk meminda perlembagaan negeri, sebahagian daripada usaha menyelesaikan kemelut yang berkisar pada pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Rabu lalu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pindaan itu membolehkan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri kembali ke kedudukan asal peruntukan sebelum ia dipinda pada 1993.

Dengan itu ada peruntukan yang jelas mengenai peranan Sultan dan Menteri Besar dalam soal pelantikan pegawai-pegawai tersebut.

Pindaan yang dicadangkan ialah Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan fasal “Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Dengan syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula.”

Bagaimanapun banyak pihak termasuk kerajaan negeri sendiri beranggapan bahawa usaha itu akan menemui kegagalan kerana tiada majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Pakatan Rakyat kurang tiga undi untuk memenuhi keperluan dua pertiga untuk meluluskan pindaan tersebut.

Dalam ulasannya, Dr Mahathir berkata Sultan bertindak atas nasihat perdana menteri.

“Malah sekarang, Agong bertindak atas nasihat perdana menteri,” kata Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu mengehadkan kuasa Raja-raja Melayu ketika pentadbirannya pada 1993.

Bagaimanapun usaha pentadbiran Khalid itu dikecam oleh Umno-BN dengan mendakwa Pakatan Rakyat mahu berkongsi kuasa Sultan menerusi pindaan yang dibawa esok.

Menurut Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, wakil rakyat BN akan hadir sidang khas esok tetapi tidak akan menyokong usul pindaan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan