Ahad, 23 Januari 2011

NAJIB DIJADUAL HADIR MESYUARAT JK KABINET?


JAWATANKUASA Kabinet Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan mesyuarat bulan depan bagi membincangkan pelbagai isu berbangkit, terutama masalah sekolah mubaligh Kristian di kedua-dua negeri itu.

bernard dompok 230109Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, yang juga pengerusi jawatankuasa teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak, berkata beliau sudah membawa segala cadangan dan pandangan daripada pelbagai pihak di kedua-dua negeri itu khususnya isu yang berkaitan dengan sekolah mubaligh Kristian untuk pertimbangan kerajaan Pusat.

"Kerajaan Pusat memberi reaksi yang positif dan sedia mengambil kira cadangan dan pandangan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Pusat Sumber Sekolah, Sekolah Kebangsaan St. Paul Kolopis, dekat Penampang hari ini.

Dompok yang juga anggota Parlimen Penampang berkata, Kerajaan Pusat begitu serius untuk membantu sekolah mubaligh Kristian di Sabah dan Sarawak.

Katanya, ini terbukti apabila Kerajaan Pusat bersetuju menjadikan mata pelajaran pengetahuan Alkitab (Bible Knowledge) sebagai satu daripada mata pelajaran pilihan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negara ini.

NONE"Kerajaan juga membenarkan bangunan sekolah mubaligh Kristian digunakan untuk sesi belajar pengetahuan Alkitab selepas waktu persekolahan," katanya.

Mengenai pelantikan pengetua, guru besar dan guru kanan di sekolah-sekolah mubaligh Kristian, Dompok berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bumiputera Sabah dan Sarawak.

"Jelas sekali pengwujudan sekolah-sekolah mubaligh Kristian ini memberi banyak manfaat kepada para pelajar atau murid terutama di kawasan luar bandar.

"Menyedari keadaan ini, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk membantu sekolah-sekolah berkenaan khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan