Ahad, 5 November 2017

PROGRAM JR DAN JR PLUS PLATFOM UMNO-BN UNTUK PASTIKAN KEMENANGAN PRU14

Oleh: Mail Mathew 
 


TENOM: Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus peringkat Parlimen Tenom sudah siapsiaga untuk menghadapi gelanggang pilihan raya pada bila-bila masa, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rahmahjan Sulaiman. 

Ramahjan memberitahu bahawa, jentera JR dan JR Plus sudah lama dipersiapkan, malah bersedia bila-bila masa (anytime) dan boleh diaturgerak serta-merta jika diperlukan, katanya.

“Kami dalam Wanita UMNO Tenom dan jentera JR, JR Plus siap-siaga untuk masuk gelanggang pilihan raya, biarpun esok, sebelum matahari terbit....kami sudah bersedia dan hanya menunggu signal dan tiupan wisel daripada kepimpinan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sabtu semasa Majlis Pelancaran JR dan JR Plus Peringkat DUN N36 Kemabong di Dewan Sri Ontoros, Kemabong, yang dirasmikan oleh Ketua Umno Tenom merangkap Adun Kemabong Datuk Rubin Balang. Ketua UMNO Bahagian Tenom merangkap ADUN N36 Kemabong,

Datuk Rubin Balang melancarkan JR & JR Plus DUN Kemabong. Turut hadir ialah, Ahli Parlimen Tenom merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raime Unggi, pimpinan UMNO Bahagian Tenom, pimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pemimpin masyarakat akar umbi.

Rahmahjan berkata, keyakinan Wanita UMNO dan Wanita BN untuk berdepan pilihan raya bukan retorik dan cakap politik, kerana telah lama melakukan kerja-kerja di peringkat akar-umbi.

“Gerak kerja kami bukan bermusim, seperti yang dipraktikkan pembangkang, sebaliknya kami sudah lama menabur benih, dan hanya menunggu untuk menuai hasilnya”, katanya.

Menurutnya, menerusi Program JR, telah melaksana gerak kerja bersepadu yang menggabungkan tenaga baru dan lama sayap UMNO dan komponen BN. Katanya, antara aspek yang ditekankan dalam program berkenaan ialah menjalinkan jaringan dengan masyarakat di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM), terutama kumpulan sasar, antaranya suri rumah dan badan bukan kerajaan.

Rahmahjan berkata, Pergerakan Wanita UMNO Tenom, khususnya JR dan Jr Plus akan terus memperkasakan usaha ke arah menambat hati rakyat dan menentukan sokongan mereka kekal tidak berubah.

 “Untuk itu, pendekatan dan fokus kita akan diperhebatkan, supaya lebih dinamik, tangkas, efisien serta berkeupayaan untuk menjadi jua-ra dalam menyampaikan kebajikan kepada rakyat”, tambahnya.

 Menurutnya, Program JR dan JR Plus yang dilancarkan pada hari  ini, menjadi platform bagi pimpinan UMNO dan BN untuk bekerjasama dan bermuafakat dengan lebih tersusun dan berstruktur, sekaligus  membolehkan Wanita memberi perhatian kepada kumpulan pengundi akar-umbi dalam usaha memahami kehendak dan keperluan rakyat.

Rahmahjan turut mengingatkan rakyat akar umbi, agar sentiasa berwaspada dengaan permainan politik pembangkang, kerana mereka  sentiasa mencari isu, untuk mencipta persepsi buruk terhadap kerajaan.

“Saya berasa kesal dan dukacita, dengan kritikan dan momokan pihak pembangkang, yang tidak mahu menerima realiti legasi kejayaan kerajaan  kita, sebaliknya mahu terus-terusan berfantasi, dalam dunia stimulasi dan halusinasi (gian dan khayal), seraya cuba-cuba memanipulasi dan mencari-cari,  kalau-kalau ada bara api yang boleh dimarakkan.

“Cakap mereka tidak serupa bikin, malah kadang-kadang `bikin kita panas'.  Saya sendiri secara peribadi tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan dan sindiran mereka, namun jangan sesekali kita jadikan ia sebagai penghalang atau peluntur semangat untuk terus berjuang demi rakyat.

 “Justeru kepada rakyat, saya ingin berpesan-pesan, `jangan hidup-hidup kita ditipu, mati-mati kita percaya'. Waspada dengan manipulasi mereka, jangan sampai terikut-ikut beremosi, sehingga `kayu dikatakan batu, langit dicapai dengan tangan' “, tegasnya. Ends///..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan