Isnin, 15 Februari 2016

KELEWATAN BINA PEKAN KECIL MELALAP MASALAH TEKNIKAL, LPPB

Oleh: Mail Mathew


PEGAWAI PERANCANG BANDAR LPPB
MELALAP: Pembinaan pekan kecil Melalap pasti akan dilaksanakan sejurus selesai perbincangan kerjasama antara tiga agensi terlibat terutamanya Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB), SEDCO dan Syarikat Sime Darby Plantation.

Perbincangan melibatkan tiga agensi tersebut difahamkan akan bermula dalam tahun ini dimana perancangan dijangka menfokuskan kearah pembangunan deretan kedai sebelum memulakan lain lain struktur bangunan, kata Pegawai Perancang Bandar LPPB Ahmad Shah Mohd Yakub pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika memberitahu para pemimpin masyarakat tempatan dikawasan Dun Melalap bertempat di Mini Dewan Datuk Sanggau Jalang Melalap, yang turut dihadiri Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layappan, Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Stanis Buandi, OCPD Tenom dan para pegawai negeri dan Persekutuan.

Difahamkan bahawa kelewatan memulakan pembangunan pekan Melalap disebabkan beberapa perkara yang terpaksa dikeluarkan daripada pelan perancangan pembangunan asal terutamanya mengeluarkan dari pelan induk beberapa buah perkampongan yang berhampiran dengan kawasan pekan kecil itu berdasarkan rayuan dan kehendak penduduk kampong terbabit.

DO MADIYEM
 Mengikut pelan asal, kawasan pekan kecil Melalap akan dibangunkan diatas tapak seluas 200 ekar dengan melibatkan beberapa buah kampong berhampiran seperti Kg Kasiai, Kg Langsat, Kg Sarapong dan Kg Tuntulubung.

Semasa dialog dengan para pemimpin masyarakat yang hadir yang ingin kepastian berhubung pembangunan pekan Melalap dapat direalisasikan dalam masa terdekat Ahmad Shah berkata, pihak LPPB, SEDCO dan Sime Darby akan bekerjasama untuk memastikan impian masyarakat dikawasan itu untuk mendapatkan pekan kecil Melalap tercapai dalam masa terdekat.

 “ Tanggapan bahawa pekan kecil Melalap masih ditangan Sime Darby adalah kurang tepat, sebaliknya pihak Sime Darby telah pun komited untuk menyerahkan tanah miliknya kepada kerajaan namun terdapat sedikit kekangan disebabkan beberapa pindaan telah dilakukan.

“ Pindaan pindaan itu melibatkan pelan perancangan kerana mengeluarkan beberapa buah kampong supaya tidak dimasukkan didalam kawasan pekan Melalap...(dan) ini semua memerlukan nilaian baru dan bajet baru termasuk pengubahsuaian pelan induk sebelum diserahkan kepada kerajaan,” kata Ahmah Shah Pegawai Perancang Bandar LPPB.

Terdahulu, Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layappan mengharapkan agar pencerahan yang dilakukan pihak LPPB itu berhubung kelewatan pembinaan pekan kecil Melalap dapat mengikis tanggapan negatif penduduk kampong yang dipercayai ianya telah tersebar luas sebelum ini.

Beliau berkata, kehadiran para pengerusi JKKK, KAN, WKAN dan Ketua kampong dimajlis dialog itu amat penting atas sifat mereka sebagai mata dan telinga kerajaan dimana isu isu seperti itu harus disampaikan kepada rakyat jelata agar mereka tidak salah faham dengan isu tersebut.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin masyarakat disini kini telah faham berhubung kelewatan pembangunan pekan kecil Melalap walaupun pecah tanah telah dilaksanakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman sekitar tahun 2012 sebelum pilihanraya umum kali ke-12 (PRU12). Ends///...(Mail Mathew)

Caption:- 1.Gambar LPPB 1- Kelihatan DO Tenom Madiyem ketika memberi taklimat. 2.Gambar LPPB 2- Pegawai Perancang Bandar LPPB Ahmad Shah memberi pencerahan berhubung kelewatan pembinaan pekan kecil Melalap.

Selasa, 9 Februari 2016

ISU TANAH: KK ROBIN DAN RAKAN AKAN TEMUI KETUA MENTERI

Oleh: Jackson Lu 

ISU PEMBALAKKAN yang digembar gemburkan oleh sekumpulan individu untuk membantah kerja kerja membersih kawasan dan menumbang balak dikawasan tanah bergeran milik persendirian mengakibatkan pencemaran air sungai, sebenarnya isu itu sudah berlalu dan tidak perlu diungkit lagi.

KK ROBIN KUMUAH
Malahan sebelum memulakan aktiviti itu telah pun mendapat kelulusan dari pihak berkaitan terutamanya Pejabat Tanah daerah, Jabatan Perhutanan termasuklah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah.

 Bagaimana pun, dari segi riak dan gaya bantahan yang telah tersiar di akhbar tempatan pada 3 Febuari 2016 tidak menimbulkan maksud mereka untuk membantah sekeras kerasnya berhubung penerokaan kawasan dan menumbang balak.

Sebaliknya isu mereka lebih tertumpu kepada hal hal lain terutamanya menyalahkan JPAS kerana tidak mengambil tindakan serius kepada pihak pelaksana operasi pembersihan itu untuk mengelak daripada berlakunya pencemaran.

Disebabkan hak dan obligasi yang ada pada pihak pemilik tanah begeran untuk mengusahakan tanahnya mengikut gaya dan keperluannya sendiri, sudah tentu ia bukan menjadi suatu persoalan pihak lain untuk menghalangnya berbuat demikian, sedang kerajaan juga tidak putus putus menyarankan kepada para pemilik tanah supaya mengusahakan tanah mereka dan jika gagal berbuat sedemikian maka kerajaan mempunyai hak dan kuasa merampas balik tanah tanah tersebut.

Dalam pada itu, ketua peserta pemilik tanah bergeran seramai 83 orang Ketua Kampong Robin Kumuah (gambar), ketika ditemubual berkata, “ Saya tidak faham apa lagi mereka mahu kerana segala keperluan syarat yang dikemukakan oleh JPAS dan jabatan jabatan lain supaya tidak berlaku pencemaran air sungai sudah kami lakukan...jadi, apa lagi,” katanya.

Robin berkata, beliau dan beberapa rakannya akan menemui Adun Kemabong untuk memberi taklimat berhubung perkara ini sebelum menemui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman berhubung status geran tanah yang dimiliki mereka sama ada sah atau sebaliknya.

Ketika ditanya sama ada gambar yang ditunjukkan oleh kumpulan pembantah termasuk keadaan kualiti air kelihatan keroh Robin berkata, dimana mana sahaja sungai jikalau musim hujan mestilah kelihatan warna air seperti milo, tetapi di Ulu Bamban tidak menggunakan air sungai kecil kerana perkampongan itu menerima bekalan air graviti yang disambung melalui hutan simpan Lumaku.

“ Kami juga mahu mengajukan persoalan kepada pihak berkaitan terutamanya Ketua Menteri dan Jabatan Perhutanan, sama ada laluan paip graviti yang merentasi hutan simpan mendapat kelulusan? Jika tiada...apa tindakan kerajaan,” tegasnya.

Geran persendirian sebanyak 83 keping diserahkan kepada KK Robin Kumuah oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman semasa diDewan Seri Antanom semasa Pesta Kaamatan dan Tamu Besar Tenom pada tahun 2014.

Rabu, 3 Februari 2016

PERAYAAN KRISMAS 2015 MENGIKUT ZON DAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Oleh: Mail Mathew

MENYUMPIT....GIMIK PERASMIAN PERAYAAN KRISMAS
KEMABONG: Masyarakat setempat khususnya mereka yang menganut agama Keristian tidak dilupakan untuk turut serta meraihkan hari kebesaran agama itu yang diadakan dikawasan zon Kuala Tomani bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Datuk Rubin Balang.

Perayaan Krismas tahun 2014 mempunyai kelainan sambutannya dimasa masa lepas dimana perayaan seumpama itu telah diadakan dalam satu pusat bertempat di Dewan Sri Ontoros.

Bagaimana pun, sambutan kali ini bagi tahun 2015 ia diadakan mengikut zon dengan harapan agar masyarakat akar umbi dalam berbagai peringkat tidak ketinggalan untuk turut sama merayakan hari kebesaran itu supaya impaknya lebih dirasai kemeriahannya.

Selain itu, Rubin yang berterima kasih diatas inisiatif dan daya usaha pihak penganjur turut menyifatkan perayaan tersebut sangat berjaya kerana telah dapat mengeratkan hubungan silatulrahim dengan kesukuan lain tanpa mengira kesukuan mahu pun agama.

Sambil itu, Rubin turut mengingatkan kepada semua kaum dan etnik agar tidak menjadikan soal keagamaan sebagai benteng pemisah diantara satu dengan yang lain, sebaliknya menjadikan agama yang dianuti masing masing sebagai pedoman dan panduan bagi setiap insan untuk lebih menghormati masyarakat lain.

Dalam pada itu, beberapa masyarakat sekeliling ketika ditemui menyambut baik usaha sedemikian sambil berharap ianya berterusan kerana sistem itu dapat memberi peluang kepada semua masyarakat sama ada jauh dan dekat untuk sama sama menikmati perayaan Krismas dengan lebih bermakna.

Pusat sambutan perayaan Krismas 2015 diadakan di dewan terbuka Kg Kalibatang Lama dekat Kuala Tomani yang dihadiri kira kira lebih 2,000 orang.

Selasa, 2 Februari 2016

JPAS, SILA BUKA MATA...INI BUKAN PENCEMARAN?

Oleh: Mail Mathew

KUALITI AIR KEROH MACAM MINUMAN MILO
TENOM: Lima Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) dan Ketua Kampong (KK) yang mewakili kira kira 3,000 penduduk meminta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman campur tangan menyelesaikan masalah pembalakkan dan pencemaran air dikawasan perkampongan tersebut.

 Lima perkampongan yang dikenal pasti terjejas teruk antaranya Kg Bamban, Kg Paal Tengah, Kg Batu 10, Kg Laman dan Kg Mailo, kata jurucakap kumpulan itu Sudin Ansiew dan KK Bongkok Dawat, ketika memberitahu media pada Selasa.

DUA PEMIMPIN KAMPONG KETUAI BANTAHAN
Menurutnya, pencemaran itu berlaku selepas kerja kerja membersih kawasan dan pembalakkan dimulakan diatas tanah bergeran milik 83 orang sebaik ianya diluluskan Jabatan Perhutanan dibawah Peraturan Form 2B pada tahun lepas.

Sudin berkata, mereka kesal dengan tindakan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar yang dilihat seolah olah tidak serius menangani masalah pencemaran disitu walaupun laporan telah dibuat mengenainya sebelum ini.

Sudin Ansiew yang juga merupakan Pengerusi JKKK Kg Bamban berkata, Pengarah jabatan itu disifatkan mereka telah gagal melaksanakan tanggung jawab yang diamanahkan kepada jabatan itu untuk mempastikan kakitangannya telah benar benar meneliti aduan berhubung laporan pencemaran yang dikemukakan badan itu (JKKK) pada sebelum ini.

 “ Kita peracaya, kakitangan jabatan itu tidak sampai ke lokasi terbabit untuk meneliti keadaan sebenar pencemaran yang berlaku keatas kualiti air bagi kedua dua batang sungai iaitu Sungai Paal dan Sungai Mailo.

SUNGAI SEMAKIN KERING
 “ Menyedihkan lagi, apabila musim hujan kualiti air menjadi keroh macam 'milo' disebabkan penerokaan keatas tanah secara berlebihan....meskipun begitu keadaan sedemikian mungkin tidak akan berlaku jika jabatan itu menguatkuasakan pelaksanaan langkah langkah pengurangan (PMM) impak untuk mengurangkan pencemaran, ” tegasnya.

Sementara itu, kumpulan berkenaan turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat kehadiran syarikat pembalak dikawasan itu yang mana kelulusannya menimbulkan keraguan kerana sebelum ini kawasan tersebut telah mendapat bantahan penduduk terbabit. Ends///...(Mail Mathew)

Caption:- 1.IMG_7630 - Jurucakap 5 buah perkampongan dari kiri, Sudin Ansiew dan KK Bongkok. 2.Gambar MAILO 1- Keadaan bekalan air sungai semakin cetek. 3.Gambar MAILO 2- Air keroh bagaikan 'milo'.

Rabu, 20 Januari 2016

FOKUSKAN PINJAMAN TEKUN KEPADA USAHAWAN TEMPATAN- DATUK RUBIN BALANG

Oleh: Mail Mathew

RUBIN DAN KAKITANGAN TEKUN
 TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Datuk Rubin Balang menyarankan kepada agensi kerajaan khususnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) agar menfokuskan pemberian pinjaman kepada peniaga kecil kecilan dan pastikan pinjaman dibayar balik secara ansuran.

Beliau berkata, mereka (peminjam) perlu bersyukur dengan pinjaman itu kerana matlamatnya semata mata untuk membantu meningkatkan sumber ekonomi pendapatan rumah tangga mereka.

 “ Usahawan yang mahu membuat pinjaman TEKUN perlulah mempunyai perniagaan yang sedia ada supaya pembayaran balik pinjaman itu dapat dibuat dengan sebaiknya,” katanya.

 Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) Sabah dan Ketua Umno Tenom berkata demikian ketika memberitahu pegawai dan kakitangan TEKUN disini semasa melakukan kunjungan hormat terhadapnya diPejabat Umno dekat sini pada Rabu.

Selain itu, Pengurus TEKUN cawangan Tenom Vevera Niong memaklumkan bahawa peruntukkan sejumlah RM1 juta telah disediakan untuk menjana pinjaman bagi usahawan kecil kawasan N.35 Melalap dan N.36 Kemabong bagi tahun 2016.

Tambahnya, pembiayaan pinjaman TEKUN adalah secara berkumpulan dimana cawangan Tenom sudah menyalurkan sebanyak RM174,000 kepada 15 kumpulan usahawan kecil yang dianggotai seramai 75 orang peserta pada tahun 2015.

 “ Pihak TEKUN kini telah menyediakan pembiayaan yang baru iaitu Pembiayaan TEMAN TEKUN DAN i- FACTORING,” tegasnya.

 Menurut Vevera, setakat ini usahawan pada keseluruhannya di Tenom mencapai lebih 800 orang dimana kesemuanya telah komited dan sudah mendapat pinjaman daripada dana TEKUN dan kini dalam proses pembayaran balik mengikut jadual yang telah pun ditentukan. Ends///...(Mail Mathew)

Caption:- 1.Gambar TEKUN- Rubin (tengah) menerima surat jadual pinjaman TEKUN daripada Pengurusnya Vevera Niong. Manakala kanan sekali pegawai TEKUN Roy Walter Mailap.